KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Syarikat tujuan khas milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Bukit Selambau Solar Dua Sdn Bhd (TBSS2) telah memperoleh pembiayaan sehingga RM185 juta untuk projek Solar Berskala Besar Mentari (LSS4) di Bukit Selambau, Kedah.
Menurut kumpulan, ia adalah projek Solar Berskala Besar (LSS) ketiga TNB di Bukit Selambau di bawah program LSS4 kerajaan.
Dalam kenyataan hari ini, ia berkata projek solar itu mempunyai kapasiti 50 megawat (MWac).
Ladang solar itu sedang dibangunkan di kawasan berkeluasan 70.82 hektar, bersebelahan LSS kedua TNB di Bukit Selambau.
Ia dijangka melaksanakan operasi komersial pada Disember 2023.
“Berikutan situasi pasaran yang mencabar, ia merupakan pencapaian yang bermakna apabila projek itu telah mencapai penutupan kewangannya. TBSS2 telah berjaya menyelesaikan penutupan kewangan pada 30 Sept 2022, seperti dijadualkan.
“Kejayaan ini sebahagiannya disumbangkan oleh sokongan Suruhanjaya Tenaga untuk meluluskan lanjutan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama empat tahun daripada 21 tahun kepada 25 tahun, dengan CIMB Islamic Bank Bhd akan menyediakan pembiayaan hutang sehingga RM185 juta bagi projek itu,” menurut TNB.
TBSS2 menandatangani PPA tersebut pada 19 Ogos 2021 untuk tempoh 21 tahun bagi membangunkan kemudahan LSS.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din menyifatkan projek LSS sebagai langkah ke hadapan untuk memenuhi sasaran alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemampanan TNB, di samping memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan bagi syarikat utiliti negara itu.
“Projek LSS akan menyumbang kepada peralihan tenaga, sekali gus turut membuka peluang baharu pertumbuhan perniagaan dan kemampanan jangka panjang TNB, serta merangsang pemangkin baharu ekonomi untuk Malaysia.
“TNB berhasrat meluaskan seluruh portfolio tenaga boleh baharu (RE) kepada 7,000 megawat (MW) menjelang 2030 — tidak termasuk hidro besar — sejajar dengan aspirasinya untuk mencapai sasaran sifar bersih dan bebas arang batu menjelang 2050,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Zarihi Hashim berkata TNB mempunyai rekod prestasi yang terbukti dengan menguruskan lebih 600MW aset RE — solar dan angin — untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“TNB akan terus menyokong sasaran Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia dan meneroka peluang pelaburan dalam sektor RE di Malaysia,” katanya.
Projek terbaru di Bukit Selambau itu dijangka memacu lanjut pertumbuhan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini untuk beberapa tahun akan datang, mencerminkan kejayaan penting TNB yang terkini dari segi sokongan berterusan terhadap aspirasi negara untuk mencapai kapasiti RE terpasang sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
Pada masa ini, portfolio kasar RE TNB di Malaysia berjumlah 2844MW, manakala 993MW lagi meliputi United Kingdom, Turkiye dan India, terutamanya terdiri daripada aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.
— BERNAMA