KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Paragon Globe Bhd, Paragon Bizhub Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian untuk membina dan mereka bentuk kilang baharu Shimano Components (Malaysia) Sdn Bhd di Pekan Nenas, Johor.
Kilang pembuatan itu dijangka siap pada 2024, kata Paragon dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata Shimano, pengeluar komponen basikal dan peralatan memancing multinasional Jepun, membeli dua unit kilang berkembar satu tingkat serta pejabat dua tingkat di Taman Perindustrian Pekan Nenas dengan keluasan binaan kira-kira 12,573.77 meter persegi dan kawasan tanah seluas kira-kira dua hektar dengan harga RM45 juta.
Pengarah Urusan Shimano, Chia Chin Seng berkata, kedua-dua unit ini melengkapkan kemudahan pembuatan sedia ada Shimano di Pekan Nenas dan ia akan terus melabur.
“Urus niaga ini menandakan satu lagi kejayaan dalam portfolio Shimano dan ini sejajar dengan pertumbuhan dan pengembangan syarikat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Paragon Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata syarikat itu berhasrat untuk memupuk hubungan perniagaan yang baik dengan Shimano dan kerjasama itu menunjukkan keyakinan Shimano terhadap keupayaan Paragon dalam menyediakan projek perindustrian yang dirancang dengan baik.
— BERNAMA




