KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Pemegang saham syarikat kejuruteraan pembinaan, Citaglobal Bhd meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Citaglobal dalam Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (CESSB) pada harga RM140 juta.
Citaglobal dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan pengambilalihan itu melalui terbitan 736.84 juta saham baharu pada harga terbitan 19 sen sesaham dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
Pemegang saham juga meluluskan cadangan penyatuan setiap lima saham Citaglobal sedia ada kepada satu saham Citaglobal pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan pada tempoh akan datang.
Cadangan pengambilalihan itu disertakan dengan jaminan keuntungan bersih sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan, bermula dari tahun kewangan Citaglobal yang berakhir pada 31 Dis 2022 hingga tahun kewangan 2024.
“Dengan selesainya cadangan pengambilalihan ini, nilai perolehan kontrak Citaglobal akan meningkat daripada RM754.5 juta kepada RM984.7 juta,” katanya.
Citaglobal berkata CESSB yang merupakan kontraktor Gred 7, kini sedang menjalankan pelbagai projek, dengan sasaran jumlah nilai projek kira-kira RM1.66 bilion.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata selepas selesai urusniaga tersebut kepentingan syarikat itu dalam CESSB meningkat daripada 16.51 peratus kepada 47.03 peratus.
Melangkah ke hadapan, Mohamad Norza melihat banyak peluang dalam pelancaran rangkaian 5G Malaysia.
“Kami berminat untuk mengambil bahagian dalam membangunkan menara telekomunikasi 5G di seluruh negara. CESSB ialah pembekal kemudahan rangkaian berlesen dengan pengalaman dalam kerja-kerja pemasangan.
“Citaglobal merancang untuk mengambil bahagian dalam projek tertentu yang dikenal pasti dalam sektor pembinaan dan telekomunikasi, yang memerlukan perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” katanya.
— BERNAMA




