GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) — The Coffee Bean & Tea Leaf berada di landasan yang betul untuk mengembangkan operasinya di Malaysia dan mencapai sasaran 140 cawangan menjelang akhir tahun.
Ketua Pemasaran dan Inovasi The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia, Fiona Rodrigues berkata pihaknya sedang meninjau untuk membuka dua lagi cawangan di Pulau Pinang dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Kami berharap untuk menambah 40 cawangan di seluruh Malaysia pada 2023, dan kami akan terus memberi penekanan kepada kemudahan pelanggan. Sehubungan itu, kami akan membuka 15 cawangan pandu lalu.
“Pandu lalu seterusnya yang akan kami buka adalah di Batu Kawan, Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun jubli perak jenama itu di sini hari ini.
Selepas 25 tahun beroperasi di Malaysia, The Coffee Bean & Tea Leaf mempunyai 127 cawangan di Malaysia.
Sempena sambutan ulang tahun itu dan bagi memberi ganjaran kepada pelanggan atas sokongan mereka, rangkaian kopi itu menganjurkan peraduan “Pasport Ungu”.
Dengan berbelanja minimum RM25, pelanggan boleh mendapatkan Pasport Ungu dan cop setem pertama mereka. Sebaik sahaja mereka mengumpul 10 setem, mereka akan berpeluang memenangi tiga hadiah utama, termasuk penginapan hotel selama empat hari tiga malam di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Johor yang akan ditentukan oleh penganjur.
Peraduan yang berlangsung dari 1-31 Okt, 2022 turut menawarkan 25 hadiah sagu hati berupa barangan eksklusif ulang tahun ke-25 dan Kad Kredit TCB bernilai RM100.
— BERNAMA




