KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Keuntungan bersih Scientex Bhd susut kepada RM409.87 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 berbanding RM457.23 juta yang direkodkan semasa tahun kewangan 2021.
Keuntungan operasinya adalah lebih rendah pada RM561 juta daripada RM600.3 juta tahun kewangan sebelumnya, disebabkan oleh cabaran operasi yang dihadapi oleh bahagian hartanah dan pembungkusan berikutan kenaikan harga bahan mentah termasuk kos operasi yang tinggi.
Perolehan menokok 9 peratus kepada RM3.99 bilion berbanding RM3.66 bilion sebelum ini disebabkan oleh tambahan sumbangan daripada bahagian pembungkusan kumpulan.
“Hasil pembungkusan mencatatkan RM2.86 bilion bagi tahun kewangan semasa, mencerminkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya iaitu sebanyak RM2.49 bilion, disumbangkan oleh pasaran domestik serta eksport produk pembungkusan industri dan pengguna.
“Bagaimanapun, keuntungan operasi turun kepada RM238 juta daripada RM253.6 juta disebabkan oleh mampatan margin oleh lonjakan dalam bahan mentah dan kos operasi,” katanya kepada Bursa Malaysia.
Hasil hartanah berjumlah RM1.12 bilion untuk tahun kewangan 2022, susut sedikit berbanding RM1.16 bilion pada tahun kewangan 2021 susulan penangguhan kelulusan daripada pihak berkuasa kerajaan berkaitan yang menyebabkan kelewatan pelancaran projek yang dijadualkan.
“Selain itu, kelewatan mendapatkan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) yang relevan ke atas projek kami di Johor serta Melaka disebabkan kekurangan bahan untuk infrastruktur bekalan kuasa turut menyumbang kepada hasil yang lebih rendah yang dicatatkan bagi tahun kewangan semasa.
“Sejajar dengan catatan hasil yang lebih rendah, keuntungan operasi hanya mencecah RM323 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya iaitu sebanyak RM346.8 juta,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Scientex optimistik secara berhati-hati untuk mencapai prestasi yang lebih baik dalam tahun kewangan semasa.
Syarikat itu telah mengesyorkan dividen akhir sebanyak lima sen sesaham biasa yang akan dibayar menjelang 9 Jan 2023, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada AGM akan datang.
— BERNAMA




