KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Keuntungan bersih VS Industry Bhd merosot kepada RM169.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2022 berbanding RM245.35 juta bagi tahun kewangan 2021 berikutan susut nilai sekali sahaja dalam pelaburan di syarikat bersekutu dan kerugian susut nilai bagi loji dan peralatan.
Perolehan menyusut kepada RM3.91 bilion pada 2022 daripada RM4 bilion pada tahun lepas.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, keuntungan lebih rendah itu turut berpunca daripada penyusutan penghantaran pesanan kepada pelanggan utama dalam tempoh itu kerana kekurangan buruh dan gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan, sekali gus menjejaskan bekalan komponen.
Pada suku keempat 2022, keuntungan bersih VS Industry menguncup kepada RM34.57 juta berbanding RM41.49 juta pada suku yang sama tahun lepas berikutan susut nilai sekali sahaja ke atas pelaburan di syarikat bersekutu dan kerugian susut nilai bagi loji dan peralatan.
Bagaimanapun, perolehan menokok 6.7 peratus kepada RM1.4 bilion berbanding RM941.09 juta sebelum ini.
Mengenai unjuran, VS Industry berkata isu kekurangan buruh kini dapat ditangani dengan ketibaan pekerja asing yang mencukupi.
“Meskipun isu rantaian bekalan dan logistik yang mencabar, ia mudah diuruskan memandangkan kami telah meningkatkan bekalan bahan mentah tertentu menerusi masa tunggu yang panjang. Aliran pesanan daripada pelanggan masih agak baik pada masa ini,” menurutnya.
Dalam kenyataan berasingan, lembaga pengarah telah mencadangkan dividen akhir 0.4 sen bagi tahun kewangan 2022, tertakluk kepada persetujuan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang.
— BERNAMA




