KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Syarikat penyelesaian menara telekomunikasi, MRH Digital Sdn Bhd hari ini memeterai janji niaga bagi pelaburan langsung bernilai RM1.6 oleh Chengdu Sihan Technology Stock Ltd berkaitan teknologi 4G dan 5G.
Pengarah Eksekutifnya Ezzul Na’im Mohd Rohaizee berkata janji niaga itu untuk membangunkan dan menyenggara rangkaian menara telekomunikasi pelbagai pengendali dan kesalinghubungan dalam bangunan (IBC) di lokasi strategik di seluruh Malaysia dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan Chengdu Sihan, penyedia penyelesaian grid kuasa komprehensif dan pakar pemerolehan tenaga kerja asing Cosmos International Consultancy Sdn Bhd.
Beliau berkata, menerusi kerjasama itu syarikat tersebut akan dapat secara langsung membantu Malaysia mencapai matlamat pelancaran 5G di seluruh negara dalam tempoh yang ditentukan
“Ini akan memastikan Malaysia menjadi satu daripada peneraju ASEAN dalam kesalinghubungan digital dan memperoleh manfaat besar daripada 5G dari perspektif komersial, perindustrian dan peribadi,” katanya pada majlis permeterian MoU itu, di sini, hari ini. yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
MoU itu dimeterai antara Pengerusi Eksekutif MRH Digital Mohd Rohaizee Hashim, Pengarah Chengdu Sihan Liu Jian dan Pengarah Eksekutif Cosmos International Datuk Seri Mossco Woo.
Sementara itu, Zahidi berkata, usaha sama melibatkan dana RM1.6 bilion itu adalah pelaburan swasta sepenuhnya dari China tanpa melibatkan sebarang dana daripada agensi kerajaan dalam usaha mempercepatkan proses pendigitalan negara.
— BERNAMA




