KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Sapura Energy Bhd mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2022 daripada RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu, penambahbaikan itu disumbangkan oleh peruntukan lebih rendah bagi kerugian terduga, kos projek dibelanjakan lebih rendah, kerugian yang rendah daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, serta keuntungan pertukaran asing yang memberangsangkan pada suku tersebut.
Sementara itu, perolehan meningkat 57 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM747.12 juta sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Perolehan lebih tinggi telah disumbangkan terutamanya daripada perolehan tinggi yang diiktiraf daripada semua segmen perniagaan berikutan peratusan tinggi bagi penyiapan projek yang dilaksanakan dan peningkatan penggunaan pelantar pada suku semasa.
“Di sebalik cabaran ini, semua segmen perniagaan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif apabila kejuruteraan dan pembinaan meraih RM38 juta;operasi dan penyelenggaran merekodkan RM47 juta; dan penggerudian meraih RM150 juta,” menurut syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Anuar Taib berkata Sapura Energy menerima sokongan daripada prestasi kewangannya pada suku ini, berikutan ia memaparkan prestasi awal dalam Pelan Tetapan Semula dan syarikat itu dalam keadaan yang semakin baik.
“Jelas, pengubah keadaan bagi pertumbuhan masa depan kami adalah mengurangkan hutang tidak mampan, dan kami sedang berusaha keras untuk menyelesaikannya dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Dimulakan pada Disember 2021, Pelan Tetapan Semula kumpulan itu bertujuan mewujudkan kemampanan jangka panjang dengan membina semula lembaran imbangan kumpulan, menambah baik rangka kerja operasi dan pengurusan risiko serta mencartakan hala tuju masa depan perniagaan.
Di Bawah Pelan Tetapan Semula ini, segmen perniagaan kumpulan akan menumpukan semula saluran bidaannya berdasarkan keupayaan dan selera risiko, di samping menambah baik disiplin pengurusan projek.
Sapura Energy berkata ia sedang melaksanakan hampir 90 projek di peringkat global dengan sembilan daripadanya bermula pada suku kedua tahun kewangan 2023. Ia telah menyiapkan 18 projek pada suku yang sama.
Nilai perolehan syarikat berjumlah RM7.7 bilion setakat ini.
Sementara itu, untuk tempoh enam bulan pertama, Sapura Energy mencatatkan keuntungan bersih RM89.34 juta berbanding kerugian bersih RM1.61 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, manakala perolehan susut 7.2 peratus kepada RM2.06 bilion berbanding RM2.22 bilion.
Menurut syarikat itu, baru-baru ini ia mendapatkan bantuan daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC), sebuah jawatan kuasa di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia, sebagai pengantara dalam rundingan penstrukturan semula hutangnya dengan pemberi pinjaman.
CDRC telah menerima permohonan Sapura Energy dan kumpulan itu dijangka mengemukakan cadangan penstrukturan semula hutangnya dalam tempoh 60 hari bermula 1 Sept.
“Sebagai sebahagian daripada rasionalisasi portfolio, baru-baru ini kumpulan telah menyelesaikan penjualan kapal pasang paip Sapura 3000 dan memeterai memorandum kerjasama bagi penjualan tiga pelantar gerudi,” katanya.
Mengenai perkembangan skim pengaturan yang dicadangkan, Sapura Energy berkata syarikat itu dan 22 anak syarikat milik penuhnya ketika ini sedang melengkapkan pengesahan tuntutan yang dikemukakan pemiutangnya menerusi bukti pelaksanaan hutang.
— BERNAMA




