KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Opcom Holdings Bhd bercadang untuk membeli empat juta saham biasa yang mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam T&J Engineering Sdn Bhd (TJE) pada harga pertimbangan sehingga RM90 juta.
Pertimbangan pembelian akan dilaksanakan melalui gabungan tunai (30 peratus) dan saham biasa baharu (70 peratus) dalam Opcom, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan Opcom mempelbagaikan perniagaannya termasuklah membekalkan penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi, melalui TJE yang telah menerima sub-kontrak untuk pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 di beberapa lokasi di seluruh Sarawak.
Syarikat penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi memberi perkhidmatan kepada perniagaan dan penyedia yang pelbagai dan hasil daripada evolusi permintaan dalam ketersambungan daripada suara kepada mudah alih dan kemudiannya jalur lebar mudah alih.
Opcom berkata, pemilik projek berkaitan dalam hal itu contohnya adalah seperti penyedia perkhidmatan tetap dan mudah alih, penyedia perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi, perusahaan swasta serta pengawal selia industri telekomunikasi persekutuan dan negeri.
Menurut Pengarah Eksekutif Opcom Ong Soon Lim, cadangan pembelian dan pelaksanaan kepelbagaian dalam perniagaan adalah sesuai kerana membolehkan Opcom menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif untuk industri telekomunikasi, daripada kabel gentian optik kepada penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi.
Seterusnya, cadangan tersebut turut memberi Opcom peluang bagi meluaskan pasarannya di Malaysia Timur.
Lembaga pengarah Opcom menyokong cadangan pengambilalihan itu dan optimis yang ia akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan masa depan syarikat.
Pada Bajet 2022, kerajaan mengumumkan bahawa JENDELA akan dipergiatkan lagi dan memperuntukkan RM700 juta untuk meneruskan usaha penyambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar.
Kerajaan juga menyasarkan bagi mengembangkan perkhidmatan 5G kepada 36 peratus di kawasan berkepadatan tinggi termasuk di bandar-bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas TJE, Datuk Ngu Sing Hieng berkata, syarikat itu bersemangat tentang prospek penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi berikutan perkembangan transformasi digital di Malaysia.
“Komitmen JENDELA untuk membangunkan infrastruktur digital yang teguh dijangka dapat memperkukuh transformasi digital dan merapatkan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar.
“Ini dijangka menjadi petanda baik dan mengekalkan permintaan untuk penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi. Tambahan pula, perkongsian antara Opcom dan TJE adalah sinergistik kerana kami juga menyokong matlamat negara dalam membina infrastruktur jalur lebar mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Jika tiada sebarang keadaan di luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperoleh, cadangan tersebut dijangka selesai menjelang akhir tahun kewangan 2023.
— BERNAMA




