KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Pengeluar alat ganti automotif, EP Manufacturing Bhd memeterai dua perjanjian pelaburan (IA) berhubung usahanya dalam perniagaan kenderaan elektrik (EV) dua roda.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EP Manufacturing berkata perjanjian pertama, dengan pelaburan minimum berjumlah US$50 juta (US$1=RM4.53), dimeterai antara syarikat dan CIS Pride Fund SPC (CPFS), Sharkgulf Technologies Group Ltd (Sharkgulf) serta Blueshark Holding Ltd (Blueshark).
“Di bawah IA pertama, CPFS, sebagai pelabur, akan melabur dalam projek ekosistem penghantaran super dengan membeli stesen pertukaran bateri dan bateri litium daripada syarikat/Sharkgulf dan akan melantik Blueshark sebagai pengurus untuk menyelia dan menguruskan pelaksanaan projek itu,” katanya.
Sementara itu, IA kedua ditandatangani oleh EP Manufacturing, Siraj Holding LLC (SHLLC), Siraj Holding Sdn Bhd (SHSB) dan Sharkgulf, melibatkan jumlah pelaburan minimum sebanyak US$125 juta.
“SHLLC, sebagai pelabur, akan melabur dalam syarikat untuk tujuan mendapatkan dan membeli kenderaan elektrik dua roda daripada syarikat/Sharkgulf, yang akan dijual dan diedarkan di Asia Tenggara.
“SHSB akan dilantik sebagai pengurus oleh SHLLC untuk menyelia dan menguruskan pelaksanaan projek itu,” katanya, sambil menambah jaminan bank dan/atau jaminan korporat akan disediakan oleh SHLLC untuk pelaburan berjumlah US$50 juta.
— BERNAMA




