KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi secara amnya lebih rendah, sejajar dengan prestasi bursa serantau yang mengambil petunjuk daripada kerugian Wall Street pada hari Jumaat di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai satu lagi kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat.
Pada jam 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut sebanyak 16.20 mata kepada 1,451.11 berbanding penutupan Khamis minggu lepas pada 1,467.31.
Indeks utama itu dibuka 7.80 mata lebih rendah pada paras 1,459.51, dan kemudiannya berlegar antara 1,446.04 dan 1,460.91 sepanjang sesi.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada hari Jumaat, 16 Sept 2022, sempena sambutan Hari Malaysia.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 670 berbalas 173, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,237 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.31 bilion unit bernilai RM932.55 juta.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan kekal berada dalam zon merah sejak loceng pembukaan hari ini, dengan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih mempengaruhi indeks utama.
Beliau berkata kebanyakan bursa utama di Asia meneruskan kerugian mereka dari minggu lepas, terutama menjelang mesyuarat Fed pada hari Selasa yang dijangka menyaksikan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, sekali gus mendorong pelabur menjauhkan diri daripada aset berisiko.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.96 peratus kepada 18,580.87, Indeks Straits Times Singapura turun 0.16 peratus kepada 3,263.19, Kospi Korea Selatan lemah 1.19 peratus menjadi 2,354.37 dan indeks SSE Shanghai lega 0.16 peratus kepada 3,121.46.
Di dalam negara, saham wajaran tinggi Bursa iaitu Maybank naik tiga sen kepada RM8.61 dan CIMB Bank menokok dua sen kepada RM5.39, manakala Public Bank berkurangan empat sen kepada RM4.43, Petronas Chemicals lemah tiga sen kepada RM8.59 dan IHH Healthcare lebih rendah sebanyak 15 sen kepada RM6.17.
Bagi saham aktif, Top Glove merosot 5.5 sen kepada 71 sen dan SNS Network Technology turun setengah sen kepada 29.5 sen, manakala Metronic dan Velesto naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 2.5 sen dan 12 sen, dan XOX tidak berubah pada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas kerugian 111.28 mata untuk mencatatkan 10,363.30, Indeks FBMT 100 menguncup 110.26 mata kepada 10,104.39, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 110.59 mata kepada 10,468.23, FBM 70 lemah 127.37 mata kepada 12,600.21 dan FBM ACE lebih rendah sebanyak 94.33 mata pada 4,739.42.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 13.83 mata kepada 6,871.95, manakala Indeks Tenaga 8.47 mata lebih rendah pada 729.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 163.79 mata kepada 16,327.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.56 mata kepada 178.91.
— BERNAMA

