KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Kerajaan diminta untuk meneruskan pemberian elaun pelaburan hijau dalam Bajet 2023 untuk syarikat-syarikat yang melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata Top Glove Corporation Bhd.
Ketika berkongsi harapan mengenai bajet itu kepada Bernama, pengeluar sarung tangan itu juga menyarankan agar insentif tambahan diperkenalkan untuk syarikat-syarikat yang bertindak memasang atau menaik taraf kemudahan pembuatan bagi melindungi alam sekitar seperti inisiatif mengurangkan penggunaan tenaga, kitar semula air serta penuaian air hujan.
“Dalam usaha meningkatkan lagi sokongan terhadap aspirasi pelepasan sifar bersih karbon Malaysia, insentif cukai ini tidak hanya menumpukan kepada inisiatif berkaitan solar, tetapi meliputi peningkatan proses pembuatan bagi mengurangkan pelepasan karbon atau menjimatkan tenaga,” katanya.
Di bawah Bajet 2022, kerajaan menyatakan syarikat-syarikat yang melabur melabur dalam teknologi hijau akan menikmati skop insentif cukai yang diperluas (sekiranya permohonan diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) bagi tempoh 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2023.
Dua insentif hijau terbabit adalah Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pelaburan Hijau (GITE).
GITA merujuk kepada lanjutan elaun cukai pelaburan selama tiga tahun sehingga 100 peratus bagi perbelanjaan modal untuk tujuan aktiviti hijau yang layak manakala GITE merangkumi lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun ke atas pendapatan berkanun bagi perkhidmatan hijau yang layak.
Selain itu, Top Glove berkata bagi mengekalkan daya saing negara di rantau ini, kerajaan sewajarnya mempertimbang untuk mengurangkan cukai korporat secara beransur-ansur kerana kadar 24 peratus pada masa ini agak tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Singapura (17 peratus) dan Thailand (20 peratus).
Top Glove juga meminta kerajaan memberi bantuan dari segi meningkatkan elaun eksport serta melanjutkan elaun pelaburan semula yang tamat pada 2024.
“Kami berharap kerajaan membenarkan lantikan wakil syarikat (daripada sekumpulan syarikat berkaitan) untuk menuntut elaun tersebut atas dasar satu kumpulan berbanding amalan semasa menuntutnya secara entiti berasingan. Ini perlu dipinda bagi menggalakkan lebih banyak eksport,” katanya.
Menurutnya, insentif bagi syarikat pembuatan dan syarikat terpilih Malaysia dalam sektor pertanian juga dapat menggalakkan mereka melabur semula dan mengembangkan perniagaan.
“Selain itu, kami juga berharap untuk melihat pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar munasabah dan sistem bayaran balik GST yang cekap bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya,” katanya.
Top Glove berkata, bagi menggalakkan lebih ramai penduduk tempatan memenuhi keputusan kerajaan 80:20 berkaitan pengambilan mereka menjelang Disember 2024, kerajaan perlu mempertimbang untuk memberi insentif cukai.
Dalam pada itu, Top Glove turut menjangkakan industri sarung tangan itu akan terus berdepan cabaran pada tempoh-tempoh memasuki 2023 dengan senario endemik semasa menunjukkan penurunan permintaan walaupun ini bukanlah gambaran sebenar.
Syarikat itu turut menyifatkan keadaan sekarang sebagai agak janggal yang berpunca daripada simpanan berlebihan akibat pembelian panik ketika kemuncak pandemik selain terdapat penambahan bekalan sejak dua tahun lepas.
“Industri ini memerlukan sedikit masa untuk menangani keadaan itu, namun kami yakin situasi akan pulih dan permintaan akan meningkat semula,” katanya.
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) baru-baru ini berkata prestasi perniagaan sarung tangan tempatan dijangka meningkat sedikit berbanding 2019 dengan purata harga jualan diunjur mencecah paras sebelum COVID-19 iaitu US$20 (RM89.84) dan US$25 bagi setiap 1,000 helai.
Presidennya, Dr Supramaniam Shanmugan berkata permintaan global bagi sarung tangan getah dijangka berjumlah kira-kira 399 bilion helai pada tahun ini dengan pertumbuhan sebanyak 10-12 peratus bagi tahun ke tahun.
— BERNAMA




