KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) — Sapura Energy Bhd (SEB) mengumumkan bahawa Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat Malaysia (CDRC) telah menerima permohonannya untuk membantu menjadi pengantara dalam rundingan penstrukturan semula hutang dengan Pembiaya Pelbagai Mata Wang (peminjam).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SEB berkata, CDRC yang merupakan jawatankuasa di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia akan menjadi pengantara dalam rundingan penstrukturan semula hutang dengan pemberi pinjaman SEB.
“CDRC telah mengeluarkan surat kepada SEB dan pemberi pinjamannya yang mana pemberi pinjaman dijangka mematuhi pengaturan tidak bergerak bukan formal serta tidak boleh melaksanakan sebarang prosiding dan SEB dijangka mengemukakan cadangan untuk penstrukturan semula hutangnya dalam tempoh 60 hari bermula 1 Sept, 2022.
“SEB dan syarikat kumpulan yang diterima masuk dalam rundingan ini dikehendaki mematuhi dan terikat dengan Tatakelakuan CDRC Bank Negara Malaysia dan sebarang perubahan ditentukan mengikut budi bicara CDRC dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu operasi SEB Group akan diteruskan seperti biasa buat sementara waktu, tambahnya.
— BERNAMA




