KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Hap Seng Plantations Holdings Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM66.9 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM47.42 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil meningkat 36 peratus kepada RM246.86 juta daripada RM181.07 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh realisasi purata harga jualan yang lebih tinggi walaupun jumlah jualan yang lebih rendah bagi semua produk sawit, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata purata harga jualan bagi setiap tan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) bagi suku semasa adalah lebih tinggi dengan masing-masing pada RM6,737 dan RM3,769 berbanding RM4,365 bagi MSM dan RM2,709 untuk PK pada suku tahun sebelumnya.
Hap Seng Plantations berkata jumlah jualan MSM dan PK bagi suku semasa masing-masing ialah 32,044 tan dan 6,847 tan, menurun sebanyak 10 peratus dan 14 peratus berbanding suku tahun sebelumnya disebabkan pengeluaran yang berkurangan.
Ia berkata pengeluaran MSM pada kadar 16 peratus dan PK pula ialah 14 peratus iaitu lebih rendah berbanding suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan pengeluaran dan pembelian tandan buah segar (FFB) yang lebih rendah.
“Pengeluaran FFB pada suku semasa adalah 13 peratus lebih rendah berbanding suku tahun sebelumnya disebabkan hasil FFB yang terjejas ekoran trend yang bermusim dan perubahan dalam pola tanaman,” jelasnya.
Melangkah ke hadapan, Hap Seng Plantations berkata pihaknya menjangkakan keputusan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 bakal dipengaruhi oleh pergerakan harga komoditi, peningkatan kos dalam pengeluaran, ketidaktentuan ekonomi global dan peralihan daripada pandemik COVID-19 ke fasa endemik.
“Harga MSM menjadi rendah selepas penarikan balik larangan eksport MSM oleh kerajaan Indonesia pada 23 Mei, 2022,” katanya.
Ia berkata harga dijangka menurun lagi pada separuh kedua 2022 berikutan pertumbuhan dalam permintaan global yang lemah dan bekalan minyak sawit yang lebih tinggi.
“Penganalisis industri minyak sawit menjangkakan harga purata MSM bagi 2022 kekal dalam lingkungan RM4,500 hingga RM5,600 setan disokong oleh keadaan bekalan minyak sayuran lain yang terhad dan jurang harga yang besar antara MSM dan minyak sayuran,” katanya.
Syarikat itu menambah, kos baja yang lebih tinggi dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei, 2022 akan terus meningkatkan kos pengeluaran.
— BERNAMA




