KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih IJM Corporation Bhd susut hampir separuh kepada RM33.41 juta untuk suku perama berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM65.68 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya susulan pergerakan mata wang asing yang agak merugikan.
Perolehan, bagaimanapun, meningkat 3.7 peratus kepada RM1.07 bilion daripada RM1.03 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan bagi bahagian pembuatan dan pengkuarian melonjak 52.6 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2023 disebabkan oleh penghantaran cerucuk dan konkrit siap campur yang lebih tinggi, ditambah dengan margin yang agak baik daripada perniagaan cerucuk, manakala pendapatan pembangunan hartanah meningkat sebanyak 3.9 peratus pada suku tersebut disebabkan oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi pada projek yang sedang berjalan.
Perolehan bagi segmen infrastruktur menokok 30.4 peratus, didorong oleh kenaikan hasil tol di dalam dan luar negara, tetapi keuntungan sebelum cukai menurun sebanyak 77.5 peratus di tengah-tengah kerugian pertukaran asing bersih yang tidak direalisasi sebanyak RM33 juta ke atas pinjaman denominasi dolar US berbanding kerugian RM2.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022.
Sementara itu, pendapatan bahagian pembinaan merosot 28.9 peratus disebabkan oleh aktiviti pembinaan yang lebih rendah selepas penyiapan beberapa projek pada tahun kewangan sebelumnya.
Menurut IJM, prestasi segmen pembinaan akan disokong oleh tempahan dalam tangan kumpulan yang agak cemerlang berjumlah RM3.94 bilion.
“Pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar oleh kerajaan juga dijangka akan menambah nilai tempahan dalam tangan kumpulan.
“Sentimen pasaran bagi sektor hartanah kekal sihat untuk suku pertama tahun kewangan 2023,” katanya sambil menambah bahagian hartanahnya dijangka akan memberikan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan terkait melalui kepelbagaian produk yang mendapat permintaan tinggi di lokasi strategik dan jualannya yang belum dibilkan pada kira-kira RM2.2 bilion.
Dengan tempahan dalam tangan yang mantap, perniagaan industri dijangka memberikan prestasi yang memberangsangkan, manakala operasi tolnya telah pulih ke tahap sebelum pandemik dan kumpulan optimis mengenai prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan tersebut.
— BERNAMA




