KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Indeks petunjuk pasaran di Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dalam sentimen lemah, dengan pelabur menilai semula risiko selepas pasaran global ditutup rendah pada minggu lepas.
Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.5 mata kepada 1,492.94, berbanding 1,504.44 pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.83 mata kepada 1,501.61, seterusnya bergerak antara 1,489.25 dan 1,502.07 sepanjang sesi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 547 berbanding 207 manakala 356 kaunter tidak berubah, 1,218 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.05 bilion unit bernilai RM713.29 juta.
Dengan pelabur global menilai semula risiko kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, saham yang dijangka meningkat mungkin menyaksikan tekanan jualan, terutamanya selepas FBM KLCI merosot pada Jumaat lepas sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau, menurut Malacca Securities Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, kami percaya peniaga di bursa tempatan dijangka terus optimis dengan berhati-hati dalam persekitaran musim pelaporan pendapatan, selain memantau data kadar inflasi Malaysia yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya sektor teknologi dijangka menyaksikan penurunan berikutan kemerosotan dalam Nasdaq semalaman dan tumpuan pelabur mungkin beralih kepada saham dengan prospek pendapatan yang kukuh seperti pengguna terpilih, perbankan dan Real Estate Investment Trust.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa, Malayan Banking merosot empat sen kepada RM8.88, Public Bank tidak berubah pada RM4.61, Petronas Chemicals berkurangan tiga sen kepada RM8.71 dan CIMB Group susut enam sen kepada RM5.36.
Daripada saham aktif, Cnergenz menambah tujuh sen kepada 95.5 sen, MyEG naik setengah sen kepada 79 sen dan Agmo menambah empat sen kepada 85 sen manakala Metronic tidak berubah pada 5.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 78.54 mata kepada 10,601.35, Indeks FBMT 100 berkurangan 76.89 mata kepada 10,346.36, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 98.26 mata kepada 10,717.34 dan FBM ACE susut 80.17 mata kepada 4,906.51 manakala FBM 70 meningkat 83.16 mata kepada 12,704.28.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 71.49 mata kepada 16,681.49, Indeks Perladangan berkurangan 68.84 mata kepada 7,178.40, Indeks Tenaga susut 3.44 mata kepada 667.90 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.51 mata kepada 182.23.
— BERNAMA

