KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — MISC Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM19.10 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih berjumlah RM538.80 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Menurut penyedia perkhidmatan dan penyelesaian maritim berkaitan tenaga antarabangsa itu, kerugiannya berpunca daripada rosot nilai kapal, kos kewangan yang lebih tinggi daripada pinjaman termasuk keuntungan yang agak rendah daripada usaha sama pada suku semasa.
MISC dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata rosot nilai aset bukan semasa mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM309.8 juta pada suku kedua berbanding kerugian sebelum cukai RM42 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun lepas dan kerugian sebelum cukai daripada kos kewangan menokok kepada RM147.5 juta berbanding RM97.9 juta sebelumnya, manakala bahagian usaha samanya merosot kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM10.3 juta daripada keuntungan sebelum cukai berjumlah RM44.7 juta sebelum ini.
MISC bagaimanapun mencatatkan hasil yang lebih baik sebanyak RM3.21 bilion berbanding RM2.35 bilion sebelum ini melalui sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada semua segmen.
Ia juga mengisytiharkan dividen dikecualikan cukai kedua sebanyak tujuh sen sesaham, yang akan dibayar menjelang 14 Sept 2022.
Untuk tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun 2022, MISC menyaksikan keuntungan bersihnya menyusut kepada RM357.30 juta daripada RM968.60 juta, manakala perolehan naik kepada RM6.08 bilion daripada RM4.89 bilion sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Yee Yang Chien berkata agak malang apabila prestasi keseluruhan suku kedua telah terjejas susulan kemerosotan perakaunan dalam beberapa syarikat pengangkut gas asli cecair (LNG) yang sudah wujud lebih lama termasuk pelarasan yang dibuat ke atas perakaunan pajakan kewangan membabitkan projek kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Mero 3 yang sedang dilaksanakan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek-projek kami yang sedang berjalan serta sentiasa konsisten dalam menyampaikan penyelesaian kami dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai untuk menyokong keperluan ekosistem maritim global,” katanya.
Menurut kumpulan itu lagi, prospek pasaran perkapalan LNG kekal positif berikutan permintaan LNG global yang kukuh terutamanya dari Eropah susulan dorongan ke arah keselamatan tenaga.
Permintaan untuk FPSO dijangka kekal mantap dengan peningkatan anugerah projek yang dijangka dalam beberapa tahun akan datang berdasarkan optimisme dalam sektor minyak dan gas huluan, disokong oleh harga minyak yang tinggi, permintaan minyak global yang agak baik dan peningkatan perbelanjaan modal.
Bagaimanapun, kadar pasaran perkapalan petroleum untuk syarikat pengangkut minyak mentah yang sangat besar (VLCC) kekal lemah disebabkan oleh kelemahan premium dalam kargo Rusia disamping kemerosotan bekalan minyak disebabkan oleh gangguan pengeluaran di beberapa negara.
“Segmen kejuruteraan berat dan marin kekal optimis terhadap prospek berikutan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan serta harga komoditi yang tidak menentu, walaupun harga minyak yang terus naik akan terus menyokong perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh banyak syarikat tenaga gergasi,” katanya.
— BERNAMA




