KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kemunculan aktiviti pengambilan untung membabitkan kaunter wajaran tinggi terpilih selepas kenaikan kukuh pada penutupan urus niaga pada Jumaat minggu lepas, mendorong Bursa Malaysia diniagakan rendah sedikit pagi ini.
Pada jam 9.23 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.30 mata kepada 1,503.89 daripada 1,506.19 yang diraih Jumaat lepas.
Indeks utama itu bagaimanapun naik sedikit sebanyak 0.23 mata pada 1,506.42 ketika sesi pembukaan.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 194 berbalas 165 manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,604 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 308.34 juta unit bernilai RM169.91 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata FBM KLCI dijangka terus berdaya tahan dan mengekalkan aliran menaik hari ini, berlegar dalam julat 1,510-1,520.
“Wall Street pulih pada hari Jumaat kerana ramai yang percaya inflasi Amerika Syarikat (AS) mungkin telah memuncak. Disebabkan itu, Purata DJI meningkat 424 mata manakala Nasdaq memperoleh 267 mata apabila hasil 10 tahun AS susut sedikit kepada 2.84 peratus,” katanya.
Dari segi sektor, Thong menyatakan saham syarikat telekomunikasi — terutamanya operator rangkaian yang mempamerkan prestasi rendah sejak kebelakangan ini, dijangka telah tiba masanya untuk pengumpulan hasil.
Bagi komoditi, beliau berkata minyak sawit mentah melonjak kepada melebihi RM4,400 satu tan, mengikuti dekat pergerakan tinggi minyak kacang soya manakala minyak mentah Brent jatuh kepada US$98 setong disebabkan kebimbangan terhadap permintaan yang lemah.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.97, Public Bank dan CIMB susut 1.0 sen setiap satu, masing-masing mencatatkan harga RM4.64 dan RM5.42, dan IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM6.44 manakala Petronas Chemicals meningkat 2.0 sen kepada RM8.82.
Saham aktif pula, Sapura Energy tidak berubah pada 5.5 sen dan Top Glove turun 3.5 sen menjadi 8.2 sen, manakala SP Tech menambah 1.0 sen kepada RM1.21 dan Awanbiru meningkat 2.0 sen kepada 41.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 8.02 mata kepada 10,675.16, Indeks FBMT 100 susut 13.06 mata menjadi 10,414.55 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 5.27 mata kepada 10,785.06.
Begitu juga dengan FBM 70 yang kerugian 4.31 mata kepada 12,757.08 manakala FBM ACE meningkat 13.66 mata kepada 4,950.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.65 mata kepada 16,815.96, Indeks Perladangan turun 21.34 mata kepada 7,175.47, manakala Indeks Tenaga lemah 1.29 mata kepada 661.83, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.25 mata menjadi 184.92.
— BERNAMA

