KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih RCE Capital Bhd merosot kepada RM32.23 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM35.39 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan berkurangan sebanyak 0.5 peratus kepada RM77.66 juta berbanding RM78.03 juta sebelum ini.
“Berikutan kelonggaran pelbagai sekatan pergerakan secara beransur-ansur, kumpulan menikmati momentum yang positif dalam perniagaan, terutamanya disebabkan peningkatan aktiviti ekonomi dan prospek pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, menurutnya, ia tetap mengambil pendekatan berhati-hati berikutan lebih banyak kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka berlaku pada masa akan datang.
“Ini termasuk mendapatkan kemudahan pembiayaan yang kompetitif, mengekalkan pengurusan risiko kredit yang berhemat dan mempercepat inisiatif digital bagi memastikan penciptaan nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Sehubungan itu, ia menjangkakan untuk kekal meraih keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2023.
Pada 5 petang, harga saham kumpulan tidak berubah pada RM1.66 dengan 295,300 saham saling bertukar tangan.
— BERNAMA




