KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia susut ketika mengakhiri sesi dagangan awal, seiring dengan pasaran-pasaran serantau ketika pelabur lebih berhati-hati sementara menunggu kehadiran pemangkin baharu berikutan musim pelaporan korporat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 5.32 mata kepada 1,492.36 daripada 1,497.68 pada akhir dagangan semalam.
Indeks petunjuk utama yang dibuka susut 1.96 mata kepada 1,495.72, kekal dalam wilayah negatif sepanjang sesi dagangan awal dengan pergerakan kecil dalam jajaran 1, 492.16 hingga 1,496.25.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 540 berbanding 181 manakala 342 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,222 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.23 bilion unit bernilai RM689.15 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, para peniaga berkemungkinan lebih berhati-hati menjelang bulan pelaporan korporat pada Ogos ketika pembelian oleh dana asing masih berterusan sejak beberapa hari lepas.
“Sektor perbankan berkemungkinan terus cerah susulan peningkatan kadar faedah. Pelabur juga lebih menumpukan saham-saham yang mampu bertahan dalam sektor seperti pelaburan amanah pelaburan hartanah (REIT), pengguna yang kukuh serta utiliti,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya, hari ini.
Ia berkata, dagangan minyak sawit mentah lebih tinggi yang melebihi RM4,150 satu tan turut menjadi satu pemangkin positif bagi sektor perladangan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank turun turun dua sen kepada RM4.64, Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM8.38 manakala Maybank naik satu sen kepada RM8.90 dan Petronas Chemicals untung dua sen kepada RM8.72.
IHH Healthcare dan CIMB tidak berubah pada RM6.40 dan RM5.29.
Bagi saham aktif, G3 Global susut setengah sen kepada 3.5 sen, Dagang Nexchange dan Top Glove masing-masing turun 2.5 sen kepada 86.5 sen dan 96 sen manakala Metronic serta Vortex juga kekal pada 5.5 sen dan 18 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 55.34 mata kepada 10,566.27, Indeks FBMT 100 sebaliknya susut 52.59 mata kepada 10,318.56, FBM ACE turun 64.71 mata kepada 4,822.03, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 76.21 mata kepada 10,676.87 dan FBM 70 berkurangan 127.81 mata kepada 12,574.3.
Bagi sektor, Indeks Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 32.31 mata kepada 16,654.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.99 mata kepada 180.88, Indeks Tenaga turun 4.19 mata kepada 648.5 manakala Indeks Perladangan naik 12.66 mata kepada 7,114.9.
— BERNAMA

