KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya untuk mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, diheret oleh kegiatan penjualan membabitkan saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen pasaran yang lemah.
Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.43 mata kepada 1,493.12 daripada penutupan Jumaat pada paras 1,501.55.
Indeks penanda aras dibuka 0.03 mata lebih tinggi pagi ini pada 1,501.58 tetapi susut selepas itu apabila sentimen pelabur diselubungi kebimbangan terhadap perkembangan luaran termasuk pertumbuhan perlahan di China dan kenaikan kadar yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 435 berbanding 233, manakala 381 kaunter tidak berubah, 1,209 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.07 juta unit bernilai RM585.53 juta.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.88, Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM8.68, IHH Healthcare lemah empat sen untuk mencatatkan harga RM6.39 dan Tenaga merosot sembilan sen kepada RM8.38.
CIMB meningkat dua sen kepada RM5.27, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.63.
Bagi saham aktif, Metronic naik setengah sen kepada lapan sen dan Dagang Nexchange menambah dua sen kepada 89.5 sen manakala Zen Tech susut setengah sen menjadi tiga sen dan SFP susut 6.5 sen kepada 93 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 51.74 mata kepada 10,607.71, Indeks FBM Emas Syariah merosot 86.43 mata menjadi 10,743.89, Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 51.19 mata kepada 10,354.48, Indekst FBM 70 lemah 33.88 mata kepada 12,741.78 dan FBM ACE berkurangan 41.84 mata kepada 4,832.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.11 mata kepada 16,639.44 dan Indeks Tenaga menambah 0.41 mata kepada 653.44.
Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.97 mata kepada 182.01 dan Indeks Perladangan menguncup 29.5 mata kepada 7,095.77.
— BERNAMA




