KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) meningkat kepada RM97.50 juta pada suku ketiga berakhir 30 Jun, 2022 berbanding RM96.16 juta setahun lepas berikutan jualan yang lebih baik di Malaysia dan pelarasan harga membantu mengurangkan tekanan daripada operasi di Thailand dan pasaran eksport.
Hasil meningkat kepada RM1.12 bilion daripada RM1.06 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
F&N berkata hasil Makanan dan Minuman (F&B) naik sebanyak 16 peratus kepada RM626.8 juta pada suku ketiga didorong oleh jualan yang lebih tinggi pada sambutan Hari Raya, kejayaan pelaksanaan kempen promosi, pelonggaran sekatan pergerakan, serta pemansuhan sekatan perjalanan pada Mei 2022.
Jualan minuman meningkat dua angka pada suku tersebut, disokong oleh jualan perayaan yang tinggi, penggunaan luar rumah yang lebih tinggi dan harga jualan yang lebih tinggi.
Hasil bagi tenusu bertambah baik walaupun terdapat penurunan dalam volum berikutan pelarasan harga yang dilakukan untuk mengurangkan kenaikan mendadak dalam kos input, manakala hasil untuk produk makanan lebih rendah disebabkan jualan awal untuk musim perayaan Hari Raya pada suku sebelumnya.
Ia berkata eksport dari Malaysia terjejas dalam pasaran yang sensitif harga dan di China di tengah-tengah langkah perintah berkurung COVID-19 yang ketat.
Hasil daripada operasi Thailand susut 5.4 peratus kepada RM490.08 juta disebabkan oleh terjemahan pertukaran asing yang tidak menggalakkan daripada baht Thai yang lebih lemah.
“Walaupun ekonomi Thailand beransur-ansur pulih berikutan industri pelancongan yang bertambah baik, jualan domestik menurun bagi kategori susu sejat yang terjejas oleh pelarasan harga, sebahagiannya dikurangkan oleh pertumbuhan dalam jualan bagi kategori susu pekat,” kata F&N.
Namun begitu, jualan untuk segmen susu cair meningkat dengan pelancaran produk baharu di bawah F&N Magnolia.
F&B Thailand juga terus memperoleh bahagian pasaran untuk kategori susu pekat manis dan susu sejat melalui promosi yang kukuh dan program kesetiaan.
Walaupun Thailand menghadapi penurunan volum disebabkan harga yang lebih tinggi, pesanan baharu dan pengembangan ke pasaran baharu membantu mengurangkan permintaan domestik yang lebih lemah.
Syarikat itu berkata jualan di Indochina meningkat terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi di Kemboja dan sebahagiannya diimbangi oleh jualan yang lebih lemah di Laos.
— BERNAMA




