KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Aneka Jaringan Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) untuk menerokai pasaran tenaga Indonesia.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Samaiden berkata usaha sama itu akan mencipta aliran pendapatan baharu bagi kedua-dua syarikat melalui kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem fotovolta solar dan loji kuasa di Indonesia.
Usaha sama itu juga dijangka membolehkan Aneka Jaringan yang sudah mempunyai kehadiran di Indonesia melalui anak syarikatnya, PT Aneka Jaringan Indonesia, menambah kepada rantaian nilainya dalam segmen yang berkembang pesat.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Chow Pui Hee berkata Indonesia menyediakan potensi besar dalam bidang kepakaran syarikat, khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui dan sistem PV solar.
“Kami melihat Aneka Jaringan melalui anak syarikatnya di Indonesia sebagai rakan kongsi sempurna yang mempunyai pengetahuan, rangkaian dan pengalaman tempatan yang boleh mempercepat dan menyokong pengembangan geografi kami,” katanya.
Aneka Jaringan dan Samaiden masing-masing akan memegang kepentingan 45 peratus dan 50 peratus dalam syarikat usaha sama itu dan selebihnya akan dilanggan oleh rakan kongsi perniagaan Aneka Jaringan yang berpangkalan di Indonesia.
— BERNAMA




