KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Ingenieur Gudang Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Dynaciate Group Bhd, bercadang untuk membeli sebidang tanah perindustrian pegangan pajakan seluas 3.77 hektar di Ijok, Kuala Selangor dengan nilai RM30.45 juta secara tunai.
Ini susulan perjanjian jual beli bersyarat yang ditandatangani antara anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn Bhd, dengan Yuwang Development Sdn Bhd dan Global Bloom Sdn Bhd hari ini.
Bagi pihak Ingenieur, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pembelian tanah itu sejajar dengan strategi keseluruhan pelan kumpulan untuk mengembangkan segmen pembangunan hartanahnya.
“Ingenieur terus mendapatkan sumber untuk simpanan tanah baharu di lokasi mudah diakses yang mempunyai potensi pembangunan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan turut berhasrat untuk membangunkan ruang penyimpanan yang sesuai untuk industri kurier dan logistik, katanya.
— BERNAMA




