KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd meningkat kepada RM169.65 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM134.53 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan jualan yang lebih kukuh dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat konglomerat makanan dan minuman itu berkata prestasi yang lebih baik itu dicapai meskipun terdapat kesan kenaikan harga komoditi dan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan, serta impak Cukai Makmur ke atas keuntungan selepas cukai.
Perolehan syarikat melonjak kepada RM1.64 bilion daripada RM1.38 bilion, dipacu oleh jualan domestik dan eksport yang masing-masing meningkat 12.5 peratus dan 48.1 peratus, manakala pendapatan asas sesaham mengukuh kepada 72.35 sen berbanding 57.37 sen.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022, sejajar dengan dividen interim pertama 2021.
Syarikat dijangka menghadapi cabaran pada separuh kedua tahun ini berikutan gangguan yang sedang berlaku di rantaian bekalan global dan kenaikan mendadak harga kebanyakan komoditi global yang didagangkan.
— BERNAMA




