KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Unit pengurusan dana Nomura Holdings Inc dari Jepun, Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan dana ekuiti semikonduktor syariah globalnya untuk menawarkan pelabur akses ke dalam sektor semikonduktor yang sedang berkembang pesat susulan trend pendigitalan dunia.
Pengarah Urusan Leslie Yap tanpa mendedahkan sasaran aset di bawah pengurusan (AUM) untuk dana yang baru dilancarkan itu berkata unit berkenaan akan membantu pelanggan mengenal pasti syarikat dengan penilaian yang betul.
“Tidak ada sasaran khusus. Buat masa ini, kami telah terlibat dengan banyak pengedar. Mereka menunjukkan bahawa ada minat dan strategi yang baik.
“Saya yakin sektor semikonduktor akan berkembang secara positif,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dana itu di sini hari ini.
Unit itu terus berinovasi serta menawarkan peluang untuk melabur dalam aset dengan potensi yang kukuh bagi pertumbuhan dan jangka masa panjang.
Kepantasan dalam pendigitalan termasuk pelancaran rangkaian 5G telah meningkatkan keperluan untuk sambungan yang lebih besar, menimbulkan lonjakan eksponen dalam keperluan pengkomputeran dan permintaan ke atas cip semikonduktor, yang agak kritikal bagi peralatan elektronik.
“Pelancaran dana yang tepat pada masanya akan membolehkan kami memanfaatkan trend tersebut dan menyediakan pelabur akses kepada syarikat-syarikat semikonduktor antarabangsa yang berkualiti sambil mencapai kepelbagaian portfolio,” katanya.
Firma itu akan menumpukan perhatian ke atas syarikat-syarikat yang memiliki potensi pertumbuhan yang tinggi, margin keuntungan yang sihat, kemantapan harta intelek, harga dan imbangan perakaunan yang kukuh.
Dana tersendiri ini adalah yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan tersedia untuk pelaburan awal minimum sebanyak RM1,000 atau US$1,000.
Nomura Asset Management UK Ltd telah dilantik sebagai penasihat pelaburan kepada dana tersebut selain menyediakan penyelidikan pelaburan dan cadangan saham yang selaras dengan objektif serta had pelaburan dana.
— BERNAMA




