KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Syarikat teknologi dron tempatan, Meraque Services Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) untuk membantu operasi pertumbuhan dan pengembangannya di Malaysia dan rantau Asean.
Dalam satu kenyataan, ia berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perladangan, infrastruktur dan telekomunikasi melalui kemudahan pembiayaan khusus MDV.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata MDV, sebuah agensi di bawah kementerian itu komited untuk menyokong usaha kerajaan mengembangkan ekosistem syarikat pemula niaga teknologi secara holistik dan mampan dengan memastikan kapasiti pembiayaan syarikat pemula akan dipertingkatkan secara berterusan.
“Sehubungan itu, MDV secara konsisten berusaha meningkatkan sokongan pembiayaannya untuk syarikat pemula niaga berasaskan teknologi berpotensi tinggi seperti Meraque bagi memastikan pertumbuhan ia mencapai potensi maksimum,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata potensi pembiayaan daripada MDV akan memainkan peranan penting dalam usaha Meraque untuk meningkatkan pengeluaran dronnya kepada sekurang-kurangnya 100 dron setahun, meningkatkan operasinya secara global dan meningkatkan pendapatannya tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Meraque membangunkan dron penyembur hibrid pertama Malaysia pada tahun 2020 bagi tujuan penyemburan racun perosak dan baja di ladang tempatan,” katanya.
“Meraque ketika ini menguasai bahagian pasaran terbesar untuk perkhidmatan penyemburan dron di Malaysia dan kami sedang mencari sekurang-kurangnya 500 rakyat tempatan untuk diambil bekerja dan dilatih menjelang akhir tahun 2023 untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi sektor perladangan kelapa sawit serta pertanian lain,” katanya.
— BERNAMA




