KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Selasa, dengan indeks penanda aras turun 0.48 peratus berikutan kekurangan pemangkin pasaran selain wujudnya pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.99 mata kepada 1,462.23 daripada 1,469.22 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks utama itu dibuka 2.73 mata lebih rendah kepada 1,466.49.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 385 berbanding 294, manakala 380 kaunter tidak berubah, 1,250 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 1.25 bilion unit bernilai RM554.54 juta.
Menurut Public Investment Bank Bhd, pihaknya menjangkakan FBM KLCI mengalami aliran tidak banyak berubah dan bergerak di antara 1,455 dengan 1,485 dalam tempoh terdekat.
“Paras sokongan untuk indeks ini adalah pada 1,455; 1430 dan 1400 manakala paras rintangan pada 1,485; 1515 dan 1551,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group masing-masing susut tiga sen kepada RM8.77 dan RM5.19, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.62, IHH Healthcare menguncup lima sen kepada RM6.40, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.62.
Bagi saham aktif, UMediC Group yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 14 sen kepada 46 sen, Zen Tech International naik setengah sen kepada enam sen, MyEG Services menambah satu sen kepada 75 sen, Top Glove turun setengah sen kepada 99 sen dan Bintai Kinden kekal pada 11 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 36.08 mata kepada 10,363.81; Indeks FBM Emas Shariah susut 44.53 mata kepada 10,401.71; FBM 70 turun 4.48 mata kepada 12,384.48; Indeks FBMT 100 menguncup 37.93 mata kepada 10,122.44 dan FBM ACE kurang 31.68 mata kepada 4,718.43.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 31.20 mata kepada 6,843.17; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.23 mata kepada 177.03, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 35.88 mata kepada 16,473.74 namun Indeks Tenaga meningkat 9.75 mata kepada 642.48.
— BERNAMA

