KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Southern Cable Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn Bhd telah memperoleh surat anugerah (LOA) daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membekalkan kabel bawah tanah dan konduktor yang bernilai RM293.8 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kabel dan wayar itu berkata kontrak melibatkan Southern Cable menghantar kabel bawah tanah dan konduktor voltan rendah dan sederhana ke Bahagian Rangkaian Pengagihan TNB dalam tempoh setahun mulai Julai 2022, dengan pilihan lanjutan satu tahun.
Syarikat itu juga telah memperoleh LOA serupa daripada TNB sejak 2019, dan kontrak terbaharu ini merupakan kontrak terbesar setakat ini.
Pengarah Urusan Southern Cable Group, Tung Eng Hai berkata, kontrak semasa menjadikan jumlah pesanan syarikat dalam tangan kepada lebih RM800 juta, untuk dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ini akan meningkatkan prospek pendapatan kami untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis, 2022 dan seterusnya.
“Dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di landasan untuk mendapatkan semula momentumnya selepas COVID-19, kami optimis bahawa LOA ini akan membantu negara mencapai matlamat ini,” katanya.
Pesanan dalam tangan terdiri daripada RM466.7 juta dalam perolehan nilai kontrak jangka panjang, serta pesanan pembelian jangka pendek yang belum dibil berjumlah RM349.6 juta.
Tung menyatakan pemulihan dalam aktiviti ekonomi di Malaysia memberi petanda baik kepada syarikat kerana ia menjangkakan pesanan yang lebih tinggi daripada pelbagai industri pada masa hadapan, termasuk telekomunikasi dan pembinaan/infrastruktur.
“Kemudahan bersepadu kami dan kabel serta wayar yang diperakui antarabangsa disokong oleh rangkaian pengedaran yang kukuh, membantu kami memenuhi mana-mana industri di seluruh negara tepat pada masanya.
“Kami optimistik tentang prospek kami di masa hadapan,” tambahnya.
— BERNAMA




