KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Dua anak syarikat Favelle Favco Bhd (FFB), Favelle Favco Cranes Pty Limited dan Kroll Cranes A/S masing-masing menerima pesanan belian atau surat hasrat daripada G A Caelli Holdings Trust dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co Ltd bagi membekalkan kren menara bernilai RM42.7 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, FFB menjelaskan kren menara itu dijangka diserahkan kepada G A Caelli pada akhir 2022 manakala bagi Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering, ia dijangka diserahkan pada pertengahan 2023.
Kontrak itu diunjurkan menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih FFB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 dan seterusnya, tambah FFB.
Menurutnya, kontrak itu tidak akan menjejaskan modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
— BERNAMA




