KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Anak syarikat 65 peratus milik Chin Hin Group Property (CHGP) Bhd, Kayangan Kemas Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM330 juta bagi menyiapkan tapak kerja-kerja teras substruktur dan superstruktur (tapak beta) bagi projek Intel Pelican di Pulau Pinang.
Kontrak 15 bulan daripada Exyte Malaysia Sdn Bhd dijangka siap menjelang suku ketiga 2023, kata kumpulan pembangunan dan pembinaan hartanah itu.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih CHGP bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, dan seterusnya, sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
CHGP memaklumkan bahawa faktor risiko yang mempengaruhi kontrak terdiri terutamanya daripada risiko operasi dan eksekutif biasa dan kumpulan itu akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menanganinya.
— BERNAMA




