KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) — Pakar agroteknologi dan hortikultur Greenyield Bhd mendapat kelulusan daripada pemegang saham bagi memperoleh 65 peratus kepentingan ekuiti dalam Greenyield Rubber Holdings (M) Ltd (GRHM) pada harga RM87.8 juta dalam urus niaga pihak berkaitan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.
Dalam satu kenyataan, Greenyield berkata GRHM dan anak syarikatnya memiliki 15,313 hektar tanah perladangan di Papua New Guinea (PNG) terdiri daripada 6,450 hektar kawasan boleh tanam untuk getah yang mana 3,513 hektar sudah ditanam, dan 3,613 hektar boleh ditanam dengan kelapa.
Penjualnya ialah Greenyield Holdings Sdn Bhd, Premium Commodities Sdn Bhd, Tham Foo Keong, Tham Foo Choon, Tham Kin-On dan Foong Sai Cheong.
Pengarah Eksekutif Greenyield Tham Kin-On, yang juga salah seorang penjual, berkata syarikat itu gembira apabila mendapat kelulusan pemegang saham bagi cadangan pengambilalihan tersebut dan kumpulan itu kini selangkah lebih dekat untuk memiliki 15,313 hektar tanah perladangan di PNG.
Kenyataan itu berkata Greenyield juga memiliki 1,200 hektar ladang getah di Kelantan dan ia adalah matlamat kumpulan itu untuk mengukuhkan kehadirannya.
Sehubungan itu, peluang di PNG disifatkan sebagai “jarang berlaku” kerana ia akan meningkatkan pendapatan kumpulan di huluan dengan sumber pendapatan berulang yang lebih besar dan membolehkan kepelbagaian tanaman. Kumpulan itu menyasarkan untuk menanam dan menanam semula sehingga 500 hektar dan 300 hektar getah dan kelapa, masing-masing setiap tahun.
— BERNAMA




