KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Syarikat sekutu 30 peratus milik HSS Engineers Bhd, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) memperoleh kontrak bernilai RM16.6 juta untuk menyediakan perkhidmatan rundingan penyeliaan tambahan bagi Seksyen 9 Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Serendah ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Kumpulan perunding kejuruteraan itu berkata seksyen sepanjang 53.5 kilometer (km) itu terdiri daripada terowong, jejambat, seksyen ‘at-grade’ dan stesen.
“Pada Disember 2017, HSSI menerima surat pelantikan daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan rundingan penyeliaan bagi kerja-kerja infrastruktur dengan jumlah kontrak bernilai RM82.5 juta.
“Di bawah kontrak kerja ini, HSSI dilantik sebagai perunding penyelia yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja pembinaan bagi seksyen 9 ECRL dari Serendah ke Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Eksekutif HSSI Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata secara keseluruhannya kerja-kerja pembinaan ECRL sedang berjalan lancar dengan kemajuan dilaporkan 28.57 peratus setakat April 2022.
Syarikat itu yakin dengan peluang untuk membangunkan semula projek itu selain mengembangkan peranannya untuk meneruskan momentum projek, terutamanya di bahagian penghubungan penting di Lembah Klang.
Kerja-kerja projek itu disasarkan untuk disiapkan menjelang suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027.
HSS Engineers berkata menerusi perolehan kontrak terbaharu ini, nilai perolehan kontrak yang belum dibilkan kumpulan berjumlah RM530 juta setakat tahun ini, memberikan kebolehlihatan pendapatan sehingga 2027.
— BERNAMA




