KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Pentamaster Corporation Bhd, Pentamaster InnoTeq Sdn Bhd (PISB) bercadang untuk melanggan kira-kira 16.61 juta saham baharu dalam Everready Precision Industrial Corp (EPIC) yang berpangkalan di Taiwan dengan nilai US$6.78 juta (US$1=RM4.41).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pentamaster berkata cadangan langganan itu mewakili 29.9 peratus daripada kepentingan ekuiti yang diperbesarkan dalam EPIC, sebuah syarikat yang terlibat dalam mereka bentuk dan mengeluarkan penyelesaian optoelektronik secara menyeluruh, daripada acuan optik kepada kanta dan modul penderiaan 3D.
Katanya harga langganan itu dicapai selepas rundingan antara pihak-pihak yang berkenaan, dengan merujuk kepada harta intelek dan pengetahuan teknologi EPIC, selain daripada pelan Greater China yang memenuhi matlamat strategi perniagaan Pentamaster.
“EPIC turut mencadangkan penubuhan usaha sama pembuatan di China dengan cabang pelaburan syarikat utama di China untuk pengembangan perniagaannya, dan harga langganan telah diambil kira untuk pelan sedemikian oleh EPIC,” katanya.
Menurut Pentamaster, pasaran optoelektronik bernilai US$5.14 bilion pada 2020 dan dijangka mencapai US$9.83 bilion menjelang 2026 — berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10.25 peratus antara 2021 dan 2026.
Katanya pasaran optoelektronik telah menyaksikan peningkatan penggunaan dalam pelbagai aspek, apabila kemajuan teknologi dan permintaan yang semakin meningkat untuk elektronik “pintar” dengan ketepatan dan kualiti yang tinggi meningkatkan permintaan tersebut.
“Tanpa mengambil kira situasi di luar jangka, Lembaga Pengarah percaya cadangan langganan itu akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan dalam jangka sederhana hingga jangka panjang,” katanya.
— BERNAMA




