KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — V.S. Industry Bhd (VS) mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM51.29 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April, 2022, daripada RM73.38 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perolehan hasil turut berkurangan kepada RM927.59 juta daripada RM1.07 bilion sebelum ini berikutan penyusutan pesanan pelanggan utama akibat kekurangan tenaga kerja serta gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan menjejaskan bekalan komponen.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, penyedia perkhidmatan pengeluaran elektronik itu berkata segmen tempatan terus dijejaskan oleh gabungan faktor seperti kenaikan kos tenaga kerja dan bahan mentah, susut nilai kemudahan baharu yang tinggi manakala pengeluaran besar-besaran untuk pelanggan utama baharu belum mencapai tahap optimum.
Bagi tempoh di bawah kajian tersebut, segmen Indonesia mencatat hasil dan perolehan keuntungan sebelum cukai lebih rendah masing-masing pada RM83.4 juta dan RM2.4 juta berbanding tempoh sama sebelumnya akibat penurunan pesanan jualan pelanggan.
Segmen China pula mencatat penurunan hasil pada suku ketiga dan suku-suku terkumpul berikutan penggunaan operasi yang kekal rendah susulan ketiadaan pesanan dalam kuantiti besar akibat landskap operasi yang amat mencabar di negara tersebut.
Mengulas prospek, VS menyifatkan prestasi di Indonesia dijangka berterusan berdasarkan unjuran pesanan semasa manakala operasi di China kekal sukar memandangkan langkah-langkah pembendungan COVID-19 yang ketat, kos yang meningkat dan kekurangan pesanan berskala besar.
“Pengurusan kos kekal menjadi tumpuan utama ketika usaha-usaha bagi mendapatkan pelanggan baharu terus dilaksanakan,” katanya.
Pengarah Urusan Datuk S.Y. Gan berkata perniagaan termasuk VS, berdepan pelbagai cabaran seperti inflasi, kenaikan kos tenaga kerja dan bahan, kekurangan pekerja, rantaian bekalan dan gangguan logistik.
Menurutnya, syarikat itu juga baru-baru ini telah menerima kumpulan pekerja asing baharu dengan bakinya akan diterima dalam bulan-bulan akan datang.
Malah, kehadiran pekerja tambahan itu dapat meningkatkan usaha dalam memenuhi jumlah pesanan pelanggan utama yang kekal memberangsangkan, termasuk pengeluaran besar-besaran bagi satu pelanggan penting yang baharu.
Selain itu, Gan berkata penilaian bebas terhadap amalan tenaga kerja VS oleh pihak PwC Consulting Associates (M) Sdn Bhd masih dijalankan dan keputusannya dijangka diketahui dalam masa terdekat.
VS telah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 0.4 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2022 yang dibayar pada 29 Julai, 2022.
— BERNAMA




