KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini rendah seiring dengan pergerakan bursa serantau yang lain, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah Wall Street.
Seorang peniaga berkata selain itu pelabur turut dilanda kebimbangan mengenai prospek ekonomi AS serta harga minyak yang melambung ke paras tertinggi dalam tempoh 13 minggu.
Pada waktu rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.27 mata kepada 1,514.59 daripada penutupan urus niaga Rabu di paras 1,523.86.
Indeks utama itu dibuka pada paras 1,523.31, jatuh sedikit sebanyak 0.55 mata dan berlegar antara 1,512.28 dan 1,526.83 di sepanjang sesi pagi.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 518 berbalas 271, manakala 354 kaunter tidak berubah, 1,131 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.81 bilion unit bernilai RM953.78 juta.
Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia pada sesi pagi dibuka rendah dan terus bergerak dalam aliran menurun sehingga akhir sesi berkenaan, terjejas oleh jualan berterusan yang membabitkan saham wajaran tinggi.
Pergerakan itu sejajar dengan prestasi bursa serantau yang kebanyakannya rendah pada sesi pagi kecuali Nikkei Jepun di tengah-tengah peningkatan hasil bon AS dan dolar yang melonjak ke paras tertinggi dalam dua dekad berbanding yen pada Khamis kerana pelabur bimbang tentang prospek lebih banyak kenaikan kadar menjelang mesyuarat utama Bank Pusat Eropah lewat hari ini.
Sementara itu, peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata ekuiti Asia berada dalam jajaran sempit pada Khamis selepas keuntungan awal di Wall Street mereda.
“Pelabur kini turut mengintai aset-aset China dalam memasuki separuh kedua kerana menurut China, negara itu akan terus meningkatkan pembukaan semula ekonominya,” katanya.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.43 peratus kepada 3,211.94, Nikkei 225 Jepun menokok 0.30 peratus kepada 28,319.20, Hang Seng Hong Kong turun 0.24 peratus kepada 21,961.60, Indeks KOSPI Korea Selatan lemah 0.36 peratus kepada 2,616.57 dan Indeks Komposit SSE China merosot 0.49 peratus kepada 3,247.86.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.81, manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare turun 13 sen setiap satu, masing-masing kepada RM9.72 dan RM6.40, CIMB lemah satu sen kepada RM5.06 tetapi Public Bank meningkat satu sen kepada RM4. 58.
Bagi saham aktif, Yew Lee Pacific menokok empat sen kepada 33 sen, EA Holdings susut setengah sen menjadi satu sen, LGMS kerugian 5.5 sen kepada 79 sen, manakala Dynaciate dan Green Packet tidak berubah, masing-masing pada 14.5 sen dan 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 61.40 mata menjadi 10,871.59, Indeks FBM Emas Syariah merosot 89.5 mata kepada 11,143.88, FBM 70 jatuh 52.48 mata kepada 13,239.63, FBM ACE kerugian 72.95 mata kepada 5,161.15 sementara Indeks FBMT 100 menguncup 59.28 mata kepada 10,563.03.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 31.77 mata kepada 16,547.34, Indeks Perladangan jatuh 105.20 mata kepada 7,706.58 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.64 mata kepada 194.62.
— BERNAMA

