PUCHONG, 1 Jun (Bernama) — Anak syarikat e-hailing Capital A Bhd, AirAsia Ride, menyasarkan untuk mendapat lebih ramai pemandu dan meningkatkannya kepada 50,000 orang menjelang akhir tahun bagi memastikan tambang yang berpatutan untuk penumpang dan pemandunya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serantau AirAsia Ride Lim Chiew Shan berkata isu baru-baru ini mengenai tambang yang tinggi dan kesukaran mendapatkan perkhidmatan tersebut yang semakin meningkat telah mencetuskan lonjakan permintaan untuk AirAsia Ride yang menawarkan tambang lebih konsisten.
Beliau berkata sejak ia dilancarkan pada Ogos tahun lepas, AirAsia Ride telah berkembang dengan pesat dan mencecah 1 juta yang menggunakan perkhidmatan itu pada April dengan tempahan meningkat tiga kali ganda dalam sebulan yang lalu.
“Platform e-hailing yang lain mengenakan tambang yang berlipat kali ganda apabila tidak cukup pemandu.
“Kami percaya pada harga yang berpatutan justeru pihak pelanggan juga mesti dilayan secara adil dengan tambang yang mereka sanggup bayar dan pada masa yang sama, pemandu juga harus diberi bayaran untuk jam tambahan dan minyak. Begitulah cara kami merumuskan tambang,” katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan pemandu AirAsia Ride di ibu pejabat syarikat itu di SetiaWalk Mall di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.
Fernandes berkata beliau percaya bahawa AirAsia Ride boleh berkembang pesat dan menjadi e-hailing Nombor 1 negara sama seperti cara kumpulan itu mengembangkan perniagaan penerbangannya.
Bagaimanapun, belau berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang garis masa untuk mencapainya.
“Apabila kami memulakan perniagaan syarikat penerbangan 20 tahun lalu, matlamat kami adalah untuk mendemokrasikan perjalanan udara dengan menjadikannya mampu milik untuk semua orang. Ini adalah satu mesej utama yang saya ulangi kepada (Lim Chiew) Shan semasa kami mula-mula memulakan perniagaan ini.
“Saya berbangga kerana kami masih berpegang kepada visi ini dan memberi manfaat kepada pemandu dan penumpang. Kini, di mana kami dapat menjadikan penerbangan mampu milik untuk semua orang, kami berbangga kerana dapat membantu pemandu dan penumpang kami juga,” tambahnya.
— BERNAMA




