KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Untung bersih OSK Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, turun kepada RM86.27 juta daripada RM116.41 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil susut kepada RM306.46 juta daripada RM324.96 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Hasil yang lebih rendah dan keuntungan sebelum cukai direkodkan oleh segmen hartanah manakala segmen lain menunjukkan peningkatan pada suku tersebut. Hasil yang lebih rendah (mengikut segmen hartanah) adalah kerana projek-projek yang dilancarkan pada 2021 itu berada di peringkat awal pembinaannya dan belum mencapai ambang pengiktirafan hasil dan keuntungan.
“Kemajuan pembinaan projek baharu ini belum sampai masanya untuk menggantikan hasil dan keuntungan yang dicatatkan daripada projek yang disiapkan pada 2021,” katanya.
Melangkah ke hadapan, OSK Holdings berkata prestasi bahagian pembangunan hartanah akan terus disokong oleh pengiktirafan hasil daripada pengebilan kemajuan hartanah tersebut yang dijual daripada projek yang sedang berjalan.
“Bahagian ini melancarkan Mira di Shorea Park, Puchong pada Ogos 2021 dan telah mencatatkan kadar penghunian yang membanggakan. Projek saluran paip, termasuk LEA By The Hills di Taman Melawati (Gombak), dan Fasa 8B di Iringan Bayu (Seremban), serta projek sedia ada yang sedang berjalan akan menyediakan aliran hasil yang mampan untuk bahagian itu,” tambahnya.
— BERNAMA




