KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Pendapatan hartanah bersih (NPI) Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) naik 77.4 peratus kepada RM118.92 juta bagi suku pertama tempoh tahun kewangan yang berakhir 31 Disember, 2022 berbanding RM67 juta pada suku ketiga bagi tempoh kewangan 2021.
Hasil kasar meningkat 47.7 peratus tahun ke tahun kepada RM54.0 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, disokong oleh hasil yang lebih tinggi daripada semua segmen, kata Sunway REIT Management Sdn Bhd (Sunway REIT Management), Pengurus kepada Sunway REIT.
“Kelonggaran sekatan pergerakan telah menghasilkan peningkatan yang kukuh dalam aktiviti perniagaan untuk segmen runcit dan hotel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, angka untuk tempoh yang sama tahun lepas, suku ketiga tempoh kewangan 2021 dari 1 Januari, 2021 hingga 31 Mac, 2021, ia digunakan untuk tujuan perbandingan.
NPI bagi segmen runcit meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM70.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM23.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan pemulihan kukuh dalam jumlah jualan runcit dan jualan runcit.
“Hasil kasar bagi segmen runcit melonjak 83.5 peratus tahun ke tahun kepada RM98.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM53.7 juta pada suku ketiga tempoh kewangan 2021, kebanyakannya disumbangkan oleh prestasi kukuh daripada semua pusat beli-belah runcit berikutan permintaan yang terpendam, perbelanjaan sempena musim perayaan, kelonggaran langkah keselamatan COVID-19 dan sokongan daripada sewaan,” katanya.
Sunway REIT Management berkata, pendapatan kasar segmen hotel meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun kepada RM18.5 juta berbanding RM14.4 juta pada suku ketiga tempoh kewangan 2021, disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik untuk semua hotel kecuali Hotel Sunway Resort yang masih ditutup untuk kerja pengubahsuaian sejak Julai, tahun 2020.
“NPI bagi segmen hotel itu meningkat seiring kepada RM17.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM12.8 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Sunway Resort Hotel telah memulakan operasi fasa pertamanya pada Mei, 2022,” katanya.
Bagi suku tahun di bawah kajian, Sunway REIT telah memperoleh hartanah pelaburan yang terletak di Pelabuhan Klang, Selangor pada harga RM34.1 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Datuk Jeffrey Ng berkata peningkatan dalam margin NPI bagi suku semasa adalah disebabkan pelbagai langkah yang dilaksanakan termasuk struktur kos yang lebih kecil dilaksanakan ketika pandemik COVID-19.
“Sunway REIT Management menjangkakan prestasi kewangan Sunway REIT akan meningkat dengan ketara pada tahun kewangan 2022, disokong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa, pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih kukuh, sentimen pengguna bertambah baik berdasarkan prospek pekerjaan yang stabil serta pembukaan semula hotel Sunway Resort secara progresif dan pengembangan sayap baharu Pusat Beli-belah Sunway Carnival yang sudah siap,” katanya.
Ng berkata pelan hala tuju strategik Sunway REIT yang diperbaharui kini dikenali sebagai TRANSCEND 2027 telah menetapkan matlamat dan sasaran terbaharu untuk Sunway REIT, ia bertujuan untuk meningkatkan nilai hartanahnya antara RM14 dan RM15 bilion menjelang tahun kewangan 2027.
“Pada masa yang sama, Sunway REIT menyasarkan untuk mengembangkan peruntukan asetnya ke dalam perkhidmatan dan segmen industri serta lain-lain antara 20 peratus dan 30 peratus daripada nilai hartanah dan mempelbagaikan pasaran hartanah asing antara 10 peratus dan 20 peratus daripada nilai hartanah,” katanya.
— BERNAMA




