KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — MN Holdings Bhd (MNHB) memulakan penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE pada 26 sen hari ini, mencatatkan premium lima sen atau 24 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat iaitu 21 sen.
Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 20.83 juta saham bertukar tangan.
Pada 20 April, syarikat kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen itu mengumumkan saham-sahamnya terlebih langgan sebanyak 118.48 kali.
MN Holdings menyasar untuk mengumpul sejumlah RM17.2 juta melalui pelaksanaan IPOnya.
Pengarah Eksekutif Datuk Clement Toh berkata syarikat itu akan menggunakan 34 peratus atau RM5.84 juta daripada IPO yang diperoleh untuk membeli pelbagai mesin dan peralatan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Pemerolehan mesin-mesin dan peralatan ini akan membolehkan kami meningkatkan sumber dan keupayaan projek dalam melaksanakan projek yang memerlukan skala dan kerumitan berbeza,” katanya selepas majlis penyenaraian di Bursa Malaysia.
Toh menambah 25.2 peratus atau RM4.33 juta daripada hasil akan digunakan untuk modal kerja am bagi menyokong pengembangan perniagaan dalam segmen perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen.
Sementara itu, baki hasil akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank berjumlah RM4 juta (23.3 peratus) dan RM3 juta (17.5 peratus) untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Loy Siong Hay pula berkata syarikat sedang membida tender beberapa projek substesen solar (LSS) berskala besar sebagai penyelaras pengurusan projek dan kejuruteraan kerja-kerja reka bentuk.
Menurut beliau, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan tender-tender berkenaan kerana ia mempunyai keupayaan yang terbukti dalam melaksanakan projek LSS.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami, syarikat berhasrat untuk mengambil peranan kontraktor utama yang meningkat yang dilantik oleh pemilik projek LSS.
“Strategi ini akan membolehkan kami membina reputasi dan rekod prestasi untuk menempatkan diri bagi mendapatkan lebih banyak kontrak pada masa hadapan dan mengukuhkan perkhidmatan kejuruteraan substesen dan segmen perniagaan penyelesaian kami,” ujar Loy.
Beliau menambah potensi daripada perolehan tender berkenaan akan menambah kepada kontrak baharu syarikat sebanyak RM172.2 juta setakat 9 Mac 2022, dengan 21.4 peratus atau RM36.8 juta terdiri daripada kerja dari segmen kejuruteraan substesen manakala baki 78.6 peratus atau RM135.4 juta adalah kerja dari segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Sehingga kini, syarikat telah mendapat tiga projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah LSS2 dalam kapasiti sebagai subkontraktor.
“Kami terlibat dalam projek EPCC sebagai kontraktor utama yang telah memperoleh projek loji kuasa fotovolta solar di bawah program LSS yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 2016.
“Sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, kami mampu memikul peranan pengurusan dan penyeliaan keseluruhan projek, sumber bahan binaan yang diperlukan, peralatan substesen dan sistem untuk pemasangan dan pentauliahan,” tambah Loy.
— BERNAMA




