KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Capital A Bhd merekodkan faktor muatan positif dengan 76 peratus manakala kapasiti 4.9 juta penumpang yang dibawa pada suku pertama 2022 berdasarkan sijil pengendali udara (AOC) yang disatukannya.
Syarikat pegangan AirAsia Aviation Group itu menjelaskan ia merupakan satu lagi prestasi yang ketara lebih baik dicatatkan menerusi AOC merentas metrik pengoperasian utama semasa tempoh yang dinilai.
“Jumlah penumpang yang dibawa meningkat sebanyak 284 peratus kepada 3.7 juta tahun ke tahun pada suku pertama 2022, mendorong peningkatan 9.0 mata peratusan (ppts) bagi faktor muatan,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Capital A menambah, kumpulan juga memperkenalkan kapasiti tambahan sebanyak 238 peratus tahun ke tahun untuk menyokong lonjakan permintaan di samping sekatan perjalanan yang dilonggarkan di seluruh operasi kumpulan.
“Susulan itu, tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) meningkat sebanyak 223 peratus dan perolehan daripada kilometer yang dilalui oleh penumpang (RPK) melonjak sebanyak 264 peratus tahun ke tahun, terutamanya dipacu oleh pemulihan perjalanan domestik yang kukuh dan pelonggaran sekatan perjalanan secara beransur-ansur pada suku pertama 2022, ” jelasnya.
Bagi AirAsia Malaysia, bilangan penumpang yang dibawa dan kapasiti masing-masing melonjak 464 peratus dan 455 peratus, berbanding suku yang sama 2021.
Prestasi itu didorong oleh penyambungan semula sejumlah besar penerbangan domestik tambahan. dan pelancaran semula banyak laluan domestik untuk menghubungkan ramai orang antara bandar utama, terutama semasa musim perayaan.
Pada suku pertama 2022, faktor beban meningkat sebanyak 1.0 ppts tahun ke tahun kepada 74 peratus, manakala ASK melonjak 475 peratus dan RPK meningkat 476 peratus tahun ke tahun.
“Pencapaian yang sangat memberangsangkan ini dipacu oleh penambahan kekerapan penerbangan domestik sejajar dengan peningkatan permintaan dan juga kempen promosi yang berlangsung pada suku pertama 2022,” tambahnya.
Menurut Capital A, AirAsia Indonesia juga mencapai faktor muatan lebih baik iaitu 76 peratus bagi suku itu, melonjak 20 ppts tahun ke tahun, dengan penumpang yang dibawa dan kapasiti masing-masing menokok 126 peratus dan 141 peratus suku ke suku.
Sementara itu, AirAsia Filipina terus merekodkan faktor muatan tertinggi bagi kumpulan dengan 86 peratus pada tempoh sukuan itu, meningkat sebanyak 12 mata ppts tahun ke tahun, tidak terganggu dengan peningkatan mendadak kes varian Omicron di Filipina dalam tempoh tersebut.
“Pada suku pertama 2022, bilangan tempat duduk yang dijual dan kapasiti meningkat masing-masing 233 dan 186 peratus, berbanding angka tempoh yang sama 2021.
“Begitu juga dengan ASK dan bilangan penerbangan masing-masing melonjak 203 peratus dan 186 peratus tahun ke tahun, dengan sokongan permintaan besar musim panas susulan pengesahan kerajaan Filipina mengenai protokol perjalanan yang lebih longgar,” jelasnya.
Capital A menambah, bagi AirAsia Thailand, ia membawa 1.45 juta penumpang, naik 48 ppts tahun ke tahun, didorong terutama oleh permintaan perjalanan yang pulih dan pelonggaran peraturan kemasukan serta pembukaan semula mengikut program Pas Thailand (Test & Go).
Justeru, ketibaan pelancong antarabangsa ke Thailand meningkat.
“Tambahan pula, AirAsia Thailand telah meningkatkan kekerapan penerbangan dan laluannya untuk memenuhi peningkatan semula permintaan perjalanan yang sedang berkembang, mendorong peningkatan 32 peratus dari segi penerbangan kepada 11,002 penerbangan, sebahagiannya disokong oleh penyambungan semula penerbangan antarabangsa.
“ASK dan kapasiti tempat duduk juga meningkat sebanyak 34 peratus dengan lantunan yang kukuh,” menurutnya.
Ia menambah, AirAsia Thailand juga telah memperuntukkan semula kapasiti dan penerbangannya untuk sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat.
Hasilnya, faktor muatan pada suku yang dilaporkan mencapai 73 peratus, naik 7.0 ppts daripada angka pada tempoh yang sama tahun lepas, menurutnya.
— BERNAMA




