KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih sekali lagi untuk minggu berakhir 22 April, menyaksikan jumlah aliran masuk bersih RM247.62 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) .
Dalam Laporan Aliran Dananya, ia berkata peruncit tempatan mengekalkan kedudukan belian bersih pada RM25.74 juta manakala institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih dengan mencatatkan sejumlah RM273.35 juta minggu lepas.
“Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 13 daripada 16 minggu bagi tahun 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM7.16 bilion.
“Mereka adalah penjual bersih pada Isnin lepas, mencatatkan sejumlah RM75.28 juta tetapi menjadi pembeli bersih bermula Rabu hingga Jumaat,” kata firma penyelidikan itu.
Dalam pada itu, institusi tempatan adalah pembeli bersih pada hari Isnin, merekodkan sebanyak RM73.59 juta sebelum bertukar kepada penjual bersih dari Rabu kepada Jumaat.
“Mereka telah menjadi penjual bersih selama 11 minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 11 Feb dan sebagai penjual bersih selama 14 daripada 16 minggu tahun ini. Sehingga kini, mereka telah melupuskan RM7.77 bilion ekuiti,” katanya.
Pasaran ditutup pada hari Selasa minggu lepas sempena cuti umum sambutan Nuzul Al-Quran.
Sementara itu, pergerakan peruncit tempatan agak bercampur-campur minggu lepas dengan belian bersih pada hari Isnin dan Jumaat manakala jualan bersih pada hari Rabu dan Khamis.
Setakat tahun ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih, merekodkan sejumlah RM613.89 juta, kata MIDF Research.
Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 9.67 peratus.
Sebaliknya, peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatatkan penurunan, masing-masing sebanyak -8.12 peratus dan -1.99 peratus.
MIDF Research menambah minat pelabur asing mungkin terus mengalir ke pasaran ASEAN seperti Malaysia kerana ia akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi.
— BERNAMA




