KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Public Investment Bank Bhd (Public Invesment) kekal berhati-hati mengenai prospek jangka terdekat sektor pembuatan Malaysia berikutan isu gangguan rantaian bekalan yang sedang berlaku sekarang.
Firma penyelidikan itu berkata isu itu boleh menjejaskan output secara langsung terutamanya bahagian kritikal seperti cip yang digunakan secara meluas dalam hampir semua produk pembuatan daripada kenderaan kepada elektrik dan elektronik.
“Ini juga boleh terjejas akibat kekurangan tenaga kerja yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan.
“Sentimen itu turut boleh terjejas oleh kelembapan pertumbuhan di China dan dasar sifar COVID-19 negara itu yang boleh mengganggu rantaian bekalan global,” katanya dalam nota penyelidikan.
Keadaan operasi pengilangan Malaysia merosot pada bulan Mac dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan jatuh kepada 49.6 pada Mac daripada 50.9 pada Februari disebabkan oleh tekanan harga dan bekalan, keadaan yang berlanjutan sejak beberapa bulan lepas dan mencapai kemuncaknya pada Mac.
Public Investment berkata keadaan operasi juga terjejas kerana permintaan yang semakin merosot berikutan peningkatan kes COVID-19 dan harga input lebih tinggi yang meningkatkan caj output.
“Kekurangan dalam bahan mentah dan kelewatan dalam penghantaran kekal menjadi masalah mengakibatkan pengurangan dalam pembelian dan stok bahan mentah manakala stok barangan siap juga berkurangan pada kadar terpantas dalam tempoh lapan bulan,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, pengilang kekal optimistik terhadap pengeluaran masa depan walaupun angka PMI pembuatan lebih rendah.
“Keyakinan itu didorong oleh harapan bahawa penamatan sekatan berkaitan pandemik COVID-19 akan membantu pemulihan dalam permintaan.
“Bagaimanapun, tahap keyakinan jatuh ke tahap paling lemah sejak Oktober, 2021 berikutan kebimbangan terhadap kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tahap pekerjaan jatuh pada bulan Mac disebabkan kekurangan pekerja seterusnya mengakibatkan kerja tertunggak bertambah dan tekanan ke atas kapasiti, katanya.
Bagi PMI ASEAN, Public Investment berkata pemulihan dalam sektor pembuatan akan dibantu oleh pengendalian yang lebih baik oleh pihak berkuasa terhadap situasi COVID-19, hasil daripada prosedur operasi standard (SOP) lebih baik dan melaksanakan perintah berkurung yang disasarkan sebagai langkah pencegahan.
“Pembukaan ekonomi sepenuhnya di kebanyakan rantau terutamanya di negara-negara maju dan Zon Euro juga akan mendorong permintaan untuk produk pembuatan, memberi keuntungan kepada produk komputer dan peranti.
“Peralihan global yang pantas ke arah rangkaian 5G untuk sektor telekomunikasi global akan mendorong permintaan untuk telefon mudah alih dan peranti pintar,” katanya.
— BERNAMA




