KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Dagangan sekuriti Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) dan Gamuda Bhd digantung sementara mulai 9 pagi hingga 5 petang hari ini bagi menunggu pengumuman penting yang akan dikeluarkan.
Ini susulan Litrak dan Gamuda masing-masing menerima surat tawaran bersyarat daripada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Litrak menjelaskan pihaknya telah menerima surat tawaran bersyarat daripada ALR yang menawarkan untuk membeli semua sekuriti Litrak dan syarikat bersekutu 50 peratusnya, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint).
“Tawaran bersyarat ALR adalah untuk membeli semua sekuriti Litrak berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM2.12 bilion pada 31 Dis, 2021 di samping tawaran bersyaratnya untuk membeli semua sekuriti Sprint berdasarkan nilai penilaian RM1.81 bilion,” menurut Litrak.
Litrak menambah, tawaran tersebut akan terus dibuka untuk persetujuan sehingga pukul 5 petang 30 April, 2022.
Litrak telah mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd bagi permohonan penggantungan dagangan sekuritinya di Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa dari 9 pagi hingga 5 petang pada 4 April, 2022 sementara menunggu pengumuman penting tersebut.
Sementara itu, Gamuda Bhd juga hari ini mengumumkan ia telah menerima surat tawaran bersyarat untuk ALR membeli semua sekuritinya dalam syarikat-syarikat konsesi lebuh rayanya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ia menjelaskan bahawa ALR telah menawarkan untuk membeli 70 peratus kepentingannya dalam Kesas Sdn Bhd; 51.6 peratus kepentingan dalam Sprint; 43.2 peratus kepentingan dalam Litrak dan 50 peratus kepentingan dalam Projek Smart Holdings Sdn Bhd (Smart).
Menurut Gamuda, bahagiannya dalam nilai ekuiti yang dijangkakan bagi semua syarikat konsesi lebuh raya itu berjumlah RM2.33 bilion.
“Setiap tawaran ke atas Kesas, Sprint, Litrak dan Smart telah diberikan oleh ALR secara berasingan dan saling eksklusif antara satu sama lain,” jelasnya.
Ia menambah, ALR secara bersyarat menawarkan untuk membeli semua sekuriti Kesas berdasarkan nilai perusahaan RM1.24 bilion pada tarikh penilaian 31 Dis, 2021 selain RM1.81 bilion untuk Sprint; RM2.12 bilion bagi Litrak serta RM313 juta untuk Smart.
“Tawaran ini akan terus dibuka untuk persetujuan sehingga pukul 5 petang pada 30 April, 2022 dan selepas itu ia akan luput serta-merta dan tidak mempunyai sebarang kuasa atau kesan melainkan ALR bersetuju secara bertulis untuk melanjutkan tempoh berkenaan di mana tawaran ini akan terus sah,” menurutnya.
Gamuda menjelaskan Bursa Malaysia telah meluluskan permohonan penggantungan dagangan sekuritinya di Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa dari 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin, 4 April 2022 sementara menunggu pengumuman penting.
— BERNAMA




