KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Solarvest Holdings Bhd, pakar tenaga bersih, telah memindahkan status penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia untuk menjadi syarikat solar tulen pertama di bursa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong Chun Shiong berkata ini menandakan kejayaan penting bukan sahaja untuk Solarvest tetapi juga untuk industri tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.
“Peningkatan status penyenaraian kami mencerminkan permintaan yang kukuh dan pengiktirafan yang semakin ketara mengenai pentingnya tenaga solar di Malaysia.
“Ini akan membuka jalan bagi kami untuk memperluas keterlihatan kumpulan dan memberi kami platform untuk berkongsi potensi pertumbuhan industri solar domestik yang rancak dengan kumpulan pelabur lain di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebagai salah satu peneraju industri dalam sektor tenaga bersih tempatan, matlamat utama Solarvest adalah untuk memperluas kehadirannya melangkaui pasaran tempatan.
“Sebagai syarikat tersenarai di Pasaran Utama, kami kini dapat menarik lebih banyak dana institusi yang tidak mempunyai mandat untuk melabur dalam syarikat-syarikat Pasaran ACE.
“Dengan itu, ia memberikan kami plihan untuk mengumpulkan lebih banyak dana di masa depan untuk mendorong pengembangan kami di pasaran serantau dengan ASEAN bersedia menjadi antara rantau paling pesat berkembang dengan unjuran penggunaan 23 peratus tenaga RE menjelang 2025, ” katanya.
Chong berkata selain daripada perluasan serantau, syarikat itu juga sedang dalam usaha mengubah model perniagaannya untuk berkembang menjangkaui kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta meningkatkan pendapatan berulang melalui pemilikan aset dan sebagainya.
Syarikat itu katanya turut berusaha mempelbagaikan perniagaan berkaitan dalam bidang tenaga bersih seperti perkhidmatan berkaitan teknologi hijau dan perniagaan penyimpanan bateri.
– BERNAMA



