KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia mempamerkan urus niaga yang mendatar untuk mengakhiri sesi pagi berikutan prestasi lemah semalaman di Wall Street.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.01 mata kepada 1,527.88 daripada penutupan petang Isnin pada 1,527.89.
Indeks utama yang dibuka 3.18 mata lebih rendah pada 1,524.71, bergerak antara 1,521.44 dan 1,533.11 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 601 berbalas 284 manakala 444 kaunter tidak berubah, 943 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.41 bilion unit bernilai RM1.48 bilion.
Memandangkan keadaan pasaran masih lagi tidak menentu, Rakuten Trade Sdn Bhd berpendapat urus niaga akan kekal berhati-hati hari ini.
“Walaupun kegiatan membeli ketika saham berharga murah akan muncul, kami percaya dagangan di bursa tempatan akan suram kerana kemudahruapan pasaran yang kian meninggi. Justeru, kami menjangkakan indeks bergerak antara 1,520-1,530 hari ini,” kata firma penyelidikan itu dalam catatannya di sini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.31, TNB meningkat dua sen kepada RM9.82, Public Bank tidak berubah pada RM4.02, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM7.94, IHH Healthcare susut enam sen pada RM6. 59 dan CIMB lega dua sen kepada RM4.78.
Bagi saham aktif, Encorp menokok 4.5 sen kepada 51.5 sen, KNM naik setengah sen kepada 25.5 sen, Fintec tidak berubah pada 2.5 sen, Pasukhas turun satu sen kepada lapan sen, dan Yong Tai kerugian 1.5 sen kepada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.98 mata kepada 11,193.64, Indeks FBMT 100 jatuh 6.31 mata pada 10,905.25 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 13.40 mata kepada 12,168.04.
FBM 70 jatuh 32.82 mata kepada 14,769.33 sementara FBM ACE turun 51.91 mata kepada 6,954.70.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 50.82 mata kepada 6,292.09, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.29 mata kepada 196.36, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.05 mata kepada 15,230.35.
— BERNAMA




