KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi pagi ini dalam persekitaran trend positif dalam pasaran serantau, berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.23 peratus atau 3.78 mata kepada 1,593.94 daripada 1,590.16 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks dibuka tinggi 3.03 mata kepada 1,593.19 dan berada antara 1,592.10 dan 1,604.56 sepanjang sesi pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 483 berbanding 425, manakala 468 kaunter tidak berubah, 870 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.40 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.
Dari segi teknikal, Kenanga Research berkata berdasarkan peningkatan semula yang lebih cepat daripada jangkaan pada minggu lepas, FBM KLCI boleh menyerap kenaikan baru-baru ini dalam persekitaran tarikan kepada pengambilan untung.
“Bagaimanapun, berdasarkan sentimen pasaran yang lebih baik, minat belian baharu dijangka memberi sokongan kepada saham pandu pasaran dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik 5.0 sen kepada RM8.42, Petronas Chemicals meningkat 12 sen kepada RM8.32, Tenaga Nasional menambah 6.0 sen kepada RM10.44 dan IHH Healthcare naik 9.0 sen kepada RM6.44; bagaimanapun Public Bank merosot 7.0 sen kepada RM4.11.
Dalam kalangan saham aktif, KNM Group tidak berubah pada 26 sen, Bintai Kinden naik 10 sen kepada 47.5 sen, AE Multi menambah setengah sen kepada 4.5 sen dan Hiap Teck meningkat 2.0 sen kepada 56.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.91 mata kepada 11,581.44, Indeks FBMT 100 meningkat 21.96 mata kepada 11,295.34 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 33.37 mata kepada 12,712.73.
FBM 70 menokok 10.15 mata kepada 14,980.49 manakala FBM ACE meningkat 4.71 mata kepada 7,219.58.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 13.06 mata kepada 6,760.62 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.34 mata kepada 15,496.24 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.44 mata kepada 198.
— BERNAMA

