KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) — Pelabur kembali melakukan aktiviti pengambilan untung di kebanyakan kaunter berkaitan indeks di Bursa Malaysia, namun indeks utama dapat bertahan dengan kukuh, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.30 peratus atau 4.79 mata kepada 1,590.53 daripada 1,585.74 ketika penutupan Khamis.
Indeks itu dibuka 2.84 mata lebih rendah kepada 1,582.90 sebelum bergerak di antara 1,577.31 dengan 1,594.52 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 563 berbanding 342, manakala 431 kaunter tidak berubah, 923 kaunter tidak diniagakan dan 65 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.23 bilion saham bernilai RM1.53 bilion.
Pada 11 pagi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ yang melibatkan 31 menteri, termasuk empat menteri kanan, sebagai pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.
Empat menteri kanan yang dilantik ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Fadilah Yusof (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Radzi Jidin (Menteri Pendidikan).
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam barisan kabinet yang baharu dibentuk itu.
Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin berkata walaupun dagangan hari ini dijangka mengalami pengambilan untung yang sekali-sekala, namun bursa tempatan diunjurkan mengekalkan fasa kenaikan kukuhnya bagi jangka sederhana.
“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks utama meningkat dan mungkin turut menguji paras 1,600 susulan pengumuman barisan kabinet pagi tadi.
“Dalam pada itu, kami yakin pengambilan untung akan muncul dan menjangkakan indeks itu berada dalam aliran 1,585 hingga 1,595 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.44, Public Bank tidak berubah pada RM4.16, Petronas Chemicals naik sembilan sen kepada RM8.29, Tenaga menokok empat sen kepada RM10.34 manakala IHH naik 49 sen kepada RM6.33.
Antara saham aktif, Avillion naik 1.5 sen kepada 14 sen, KNM menokok satu sen kepada 25 sen dan Scope Industries susut tiga sen kepada 31 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 19.21 mata kepada 11,558.65, Indeks FBMT 100 meningkat 24.10 mata kepada 11,273.18 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 40.85 mata kepada 12,675.93.
FBM 70 kurang 6.57 mata kepada 14,959.22 sementara FBM ACE merosot 62.32 mata kepada 7,200.02.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 1.12 mata kepada 6,769.49, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 30.22 mata kepada 15,498.39 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.29 mata kepada 196.78.
— BERNAMA

