KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Handal Energy Bhd kembali meraih keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021, buat pertama kalinya sejak tahun kewangan 2016, merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM227,000 berbanding kerugian bersih RM25.28 juta dalam tempoh yang sama setahun lalu.
Hasil, bagaimanapun, susut kepada RM73.69 juta berbanding RM87.34 juta.
Penyedia penyelesaian dan penyedia tenaga kepada industri minyak dan gas itu mencatatkan pendapatan asas sesaham 0.10 sen daripada kerugian sesaham 11.57 sen.
Pengarah Urusan Kumpulan Sunildeep Dhaliwal berkata kumpulan mencatatkan prestasi yang amat baik dan disokong oleh kedudukan kewangan kukuh apabila berjaya mengakhiri kerugian selama enam tahun yang mana ia merupakan bukti kukuh keberkesanan strategi pemulihan perniagaan pengurusan.
“Prestasi kewangan kami tahun ini membuktikan kemajuan pemulihan kewangan Handal. Kami berbangga usaha kami semasa tahun kewangan ini kini membuahkan hasil, dibantu oleh proses kecemerlangan operasi kumpulan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan kami yang membawa kejayaan meskipun cabaran global disebabkan oleh pandemik,” katanya.
Pada masa depan, Handal kekal menumpukan untuk melaksanakan pelan yang akan memastikan kemampanan perniagaan dan keuntungan dengan lebih banyak tender projek yang sedang dalam perancangan.
“Kami tetap yakin dan berazam untuk meneruskan usaha kami untuk menambah baik keuntungan kami pada suku-suku akan datang,” kata Sunildeep.
— BERNAMA




