KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Peruncit barangan pembaikan rumah, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) yakin dapat mencapai sasarannya untuk membuka 175 kedai di seluruh negara tahun ini walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar disebabkan pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong berkata keyakinan itu berdasarkan kepada jangkaan bahawa pembelian daripada pelanggan akan kekal kukuh terutama dengan sekatan perjalanan yang dilonggarkan dan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.
“MR DIY tidak mempunyai rancangan untuk mengurangkan jumlah kedai kami malah melakukan sebaliknya. Kami telah menambah kira-kira 93 kedai pada separuh pertama tahun ini, kami mensasarkan untuk menambah 175 kedai tahun ini. Kami akan terus menambah kedai tahun ini apabila dibenarkan kelak.
“Bagaimanapun, pada sepanjang tempoh sekatan perjalanan, kami tidak dapat membuka kedai baharu namun berharap dapat melakukannya pada separuh kedua tahun ini. Melangkah ke hadapan, kami yakin terhadap kuasa beli perbelanjaan di Malaysia,” katanya dalam sesi ‘MIDF Conversations’ yang diadakan secara maya hari ini.
Menurut Ong, MR DIY memiliki data pasaran yang disahkan secara bebas yang mengunjurkan dalam tempoh lima tahun akan datang sehingga tahun 2025, peningkatan keseluruhan penawaran dan permintaan akan berlaku di sektor peruncitan.
“Pasaran telah berkembang secara kepada dua digit sebelum ini dan kami menjangkakan ia akan terus berkembang kepada dua digit pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kumpulan itu juga berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan lebih daripada 100 juta urus niaga tahun ini iaitu tiga kali ganda jumlah penduduk di Malaysia.
“MR DIY merekodkan sekitar 10 juta urus niaga setiap bulan. Ia bukan tidak semestinya disebabkan kami menjual barangan bersaiz besar tetapi kami menyediakan barangan harian yang penting kepada pelanggan pada harga berpatutan,” katanya.
— BERNAMA




